
PETALING JAYA: “Saya tak mahu jawab soalan tentang buka tudung.”
Demikian respon pelakon, Norreen Iman apabila ditanya mengenai keputusannya untuk tidak lagi tampil mengenakan hijab.
Menurut Norreen atau Norreen Iman Abdullah, dia enggan mengulas mengenai hal tersebut dan ingin fokus ke arah perkara yang mendatang.
“Saya rasa orang akan menyampah jika saya berterusan bercakap tentangnya (buka tudung).
“Jadi tidak perlulah imej saya ini dibahaskan lagi kerana orang sudah dapat menilai.
“Apa yang boleh saya katakan, saya akan menjadi lebih baik selepas ini,” katanya selepas pertunjukkan fesyen Neonate di Kuala Lumpur Fashion Week di KLCC, di sini.
Noreen baru-baru diperkatakan susulan perubahan imejnya yang tidak lagi mengenakan hijab selepas lebih dua tahun tampil dengan imej berkenaan.
Pempengaruh media sosial itu mula melepaskan sepenuhnya hijab yang dipakainya ketika berswafoto dengan seorang individu yang digelar adiknya, pada 11 Julai lepas.
Lebih mengejutkan lagi apabila selepas itu Norreen tidak lagi sepenuhnya menutup aurat dalam beberapa video gimnasium.
Ditanya mengenai kesan kecaman netizen kerana imej tersebut, Noreen memaklumkan perkara tersebut menjadi kebiasaan dan tidak membawa kesan terhadap dirinya.
“Permainan media sosial tidak akan memberi kesan kepada saya. Malah saya bermula dalam industri seni dalam keadaan orang saling menegur di media sosial.
“Saya anggap teguran netizen boleh menjadikan saya manusia yang lebih baik.
“Hendak difikirkan apa yang mereka kata tentang saya, abaikan sahaja. Sebab mereka tidak kenal saya.
“Untuk apa saya terus memikirkan perkara yang negatif? Mohon beri ruang untuk saya menjadi diri sendiri,” ujarnya.
Dalam pada itu Noreen memaklumkan dia kini dalam fasa Bahagia bersama anak-anaknya.
“Saya jalani kehidupan yang lebih baik disamping anak-anak,” ujarnya.
Untuk rekod, Norreen diceraikan talak satu oleh Mohd Raizi pada Mei tahun ini selepas 15 tahun berkahwin.- UTUSAN
The post Tidak perlu imej saya dibahaskan lagi – Norreen Iman appeared first on Utusan Malaysia.






