Jangan ada lagi mangsa lain akibat anjing liar 

5 Aug 2026 • 1:20 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jangan ada lagi mangsa lain akibat anjing liar 

KLANG – Trauma melihat adiknya koma lebih seminggu selepas motosikal ditunggang terbabas ketika dikejar anjing liar, sebuah keluarga kini berharap tiada lagi mangsa menjadi korban terutama dalam kalangan kanak-kanak dan warga emas.

Kakak mangsa, Rozaini Che Ahmad, 43, berkata, keluarganya bersyukur apabila adiknya, Muhamad Shahrul Yuzzi Che Ahmad, 27, dibenarkan keluar dari wad Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang kelmarin.

Bagaimanapun, katanya, lelaki itu yang selesai menjalani pembedahan di kepala masih mengalami gangguan ingatan apabila ada ketika mampu mengingati sesuatu sebelum terlupa semula.

“Buat masa ini, ahli keluarga bergilir-gilir menjaganya dan kami tidak membenarkan dia keluar rumah atas permintaan Shahrul sendiri kerana dia masih trauma dengan kejadian itu.

“Kami juga tidak mahu kejadian sama berlaku kepada orang lain, terutama kanak-kanak dan warga emas yang mungkin tidak mampu bertindak pantas jika berdepan situasi sama,” katanya ketika ditemui Kosmo!.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan Muhammad Shahrul yang sedang menunggang motosikal telah dikejar sekumpulan anjing liar ketika dalam perjalanan ke rumah dari sebuah kedai. 

Anak bongsu daripada tujuh beradik itu kemudiannya hilang kawalan  ketika melalui bonggol lalu terjatuh menyebabkan kepalanya terhentak kuat pada permukaan dalam kejadian di Taman Teluk Gedung Indah antara pukul 12 tengah malam hingga 1 pagi pada 13 Julai lalu. – KOSMO! ONLINE

The post Jangan ada lagi mangsa lain akibat anjing liar  appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved