‘Jangan ajar kami erti kesabaran’

2 Sep 2026 • 2:26 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Jangan ajar kami erti kesabaran’

PETALING JAYA– “Jangan ajar kami erti kesabaran,” demikian luahan pengguna Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) yang mendakwa terpaksa berdepan kesesakan luar biasa sehingga mengganggu perjalanan mereka, semalam.

Menerusi perkongsian di media sosial, seorang pengguna mendakwa terkandas dalam kesesakan di sekitar KLK sehingga dari keadaan gelap bertukar cerah sebelum tiba di rumah.

Lebih membimbangkan, pengguna berkenaan berkata, dia bersama bayi berusia sembilan bulan terpaksa berada lama dalam kenderaan sehingga bekalan susu untuk anaknya hampir habis.

“Jangan ajar kami erti sabar. Kami mangsa stuck dari Tol Bentong LPT Kuantan-KL. Dari gelap sampai cerah tak sampai lagi rumah dengan anak sembilan bulan.

“Air nak bancuh susu dah habis. Trauma,” katanya menerusi hantaran yang turut disertakan gambar keadaan trafik dari dalam kenderaan.

Dalam pada itu, seorang lagi pengguna meluahkan rasa kecewa selepas mendakwa perjalanan pulang ke Setiu yang lazimnya mengambil masa sekitar dua jam, berdepan kelewatan luar biasa.

Menurutnya, bas yang sepatutnya tiba pada pukul 11.30 malam masih belum muncul sehingga 8.30 pagi, menyebabkan penumpang terpaksa menunggu lebih lapan jam.

“Saya faham bas delayed teruk sebab LPT1 ada kemalangan menyebabkan minyak tumpah dan banyak kereta tersekat.

“Sering kali apabila bercakap, saya faham dan sudah reda bila delay lebih tiga jam ke atas. Yang saya tak faham sekarang ini, kenapa staf-staf TBS semuanya bermasalah dan tak mesra,” katanya.

Sementara itu, seorang pengguna lain turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pengurusan aliran trafik apabila mendakwa pengguna diarahkan memasuki Jalan Gombak Lama ketika laluan lain dikatakan masih tidak dibuka.

“Kenapa kau suruh semua masuk Jalan Gombak Lama. Bukalah Jalan Kontra dekat lane sebelah. Ramai yang dah pening. Muak-muak. Tak fikir ke?” katanya.

Luahan berkenaan menggambarkan kesukaran yang dihadapi pengguna lebuh raya selepas kesesakan teruk dilaporkan berlaku, khususnya membabitkan laluan LPT dan KLK.-KOSMO! ONLINE.

The post ‘Jangan ajar kami erti kesabaran’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved