
PETALING JAYA – Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa sekitar satu jam dari Tol Bentong ke Tol Gombak bertukar mimpi ngeri apabila pengguna Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak (KLK) terkandas dalam kesesakan lalu lintas sehingga 10 jam.
Lebih memburukkan keadaan, ada pengguna mendakwa perjalanan mereka dari Kuantan ke ibu negara mengambil masa hampir 13 jam susulan kesesakan luar biasa yang berlaku di lebuh raya berkenaan sejak semalam.
Menerusi beberapa perkongsian di media sosial, pengguna jalan raya meluahkan rasa kecewa apabila kenderaan langsung tidak bergerak dalam tempoh berjam-jam, selain bas ekspres turut terperangkap dalam kesesakan tersebut.
Seorang pengguna mendakwa dia bertolak dari Terengganu pada pukul 3 petang sebelum hanya tiba di Bentong kira-kira pukul 4.21 pagi.
“Gerak dari Ganu pukul 3 petang, sekarang di Bentong pukul 4.21 pagi masih hadap sesak, kereta tak jalan.
“Kenapa ini berlaku ? Bagitahu saya kenapa? Kematu dah ni,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.
Seorang lagi pengguna yang mendakwa sudah enam tahun menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik antara Kuala Lumpur dan Besut berkata, kesesakan yang berlaku malam tadi merupakan pengalaman paling teruk pernah dilaluinya.
“Sepanjang pengalaman enam tahun naik bas ulang-alik Kuala Lumpur-Besut, malam ini pengalaman paling teruk.
“Bas terkandas sebab jem di Karak. Bas trip pagi dari Kelantan masih belum sampai di Kuala Lumpur pun lagi,” katanya.
Menurutnya, pada pukul 2.50 pagi, dia masih menunggu di Terminal Bersepadu Gombak (TBG) untuk menaiki bas yang sepatutnya tiba pada pukul 11.45 malam.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, aliran trafik di lebuh raya KLK arah barat masih sesak sepanjang 22.5 kilometer pagi ini susulan kemalangan yang menyebabkan tumpahan minyak berlaku semalam.
Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Trafik dalam satu hantaran berkata, kesesakan dilaporkan berlaku dari Kilometer (KM) 54.3 hingga KM 31.8, membabitkan laluan Lentang-Gombak.
“Karak@E8: Trafik sesak 22.5KM dari KM 54.3 hingga KM 31.8 (Lentang-Gombak) arah Barat susulan kemalangan di KM 31.8 arah Barat (Genting Sempah-Gombak).
“Kerja-kerja penundaan lori selesai. Lorong kanan dan tengah dibuka manakala lorong kiri masih ditutup,” katanya di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE.
The post Tol Bentong ke Tol Gombak 10 jam appeared first on Kosmo Digital.






