Jangan biar asnaf jadi ‘scammer’

17 Aug 2026 • 8:45 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jangan biar asnaf jadi ‘scammer’

MEMINTA derma melalui media sosial ketika ini merupakan salah satu cara dilakukan golongan tertentu untuk meraih perhatian orang ramai bagi mendapat sumbangan dengan lebih cepat.

Keadaan itu boleh dilihat di pelbagai platform media sosial apabila sesetengah individu atau pihak yang berkepentingan tanpa berselindung meletakkan nombor akaun atau kod QR pada akaun mereka untuk meminta sumbangan.

Bermodalkan gambar dan keadaan rumah atau asnaf tertentu, mereka dilihat secara terang-terangan meraih simpati orang ramai terutamanya netizen agar memberi sumbangan seikhlas hati untuk membantu golongan tersebut.

Ada sesetengah individu mengaku sebagai asnaf mempunyai masalah kewangan sanggup membuat sesi siaran langsung atau ‘live’ di platform media sosial untuk meminta sumbangan orang ramai.

Berdasarkan pemerhatian, ramai netizen yang berinteraksi dengan golongan tersebut meminta bukti keadaan sebelum menyalurkan sumbangan.

Golongan terbabit dilihat tanpa segan silu meminta derma meskipun terpaksa menunjukkan keadaan anak atau ahli keluarga yang terlantar sakit di dalam sesi ‘live’ itu.

Rakyat Malaysia sebenarnya sangat bermurah hati untuk menyalurkan derma apabila ada nombor akaun atau kod QR dipaparkan.

Berkongsi pengalaman sebagai pengamal media, saya sendiri mendapat maklumat golongan asnaf yang pernah ditemu bual ekoran kesempitan hidup mampu memperoleh sumbangan ribuan ringgit dalam tempoh hanya beberapa jam selepas artikel Kosmo! Prihatin disiarkan menerusi akaun media sosial Kosmo!.

Mengulas mengenai sumbangan wang kepada golongan asnaf menerusi media sosial, Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Volunteer I Care (VIC), Muhammad Afiq Aiman Shukri berkata, sebagai sebuah pertubuhan yang membantu golongan miskin dan asnaf, beliau banyak mengendali dan menghulurkan bantuan berkait kes-kes yang tular di media sosial terutamanya di Kelantan.

Katanya, tidak dinafikan isu mengenai asnaf yang meraih simpati di media sosial sebenarnya merupakan salah satu trend yang dilihat semakin menular dalam kalangan segelintir golongan tersebut.

Menurutnya, berdasarkan pengamatannya ketika menjalankan tugas di lapangan, hanya kira-kira 10 peratus sahaja golongan asnaf yang benar-benar tercicir daripada menerima sebarang bantuan daripada kerajaan atau NGO.

“Kami akan membuat semakan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan sama ada golongan asnaf itu menerima bantuan atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Muhammad Afiq memberitahu, semua pihak tidak kira individu atau NGO perlu membuat semakan dan menyelidik latar belakang asnaf sebelum menyalurkan bantuan kepada golongan tersebut.

The post Jangan biar asnaf jadi ‘scammer’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved