
PETALING JAYA: Peranan dan fungsi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu dirombak dengan dasar serta kerangka baharu khususnya dalam kerjasama bagi meningkatkan keselamatan murid di sekolah.
Pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, hubungan antara ibu bapa dan guru melalui PIBG perlu dipertingkatkan memandangkan sistem sedia ada sudah lagi tidak relevan untuk diteruskan pada masa kini.
Katanya, Kementerian Pendidikan selaku pihak bertanggungjawab perlu menjadi teras dalam mengambil inisiatif merangka kerangka baharu PIBG supaya relevan dengan perubahan arus zaman.
“Ibu bapa perlu diberi peluang dan dilibatkan dalam urusan pendidikan anak-anak di sekolah. Ia bukan bermaksud mereka mengambil alih tugas guru tetapi mereka tidak boleh ketinggalan dalam menyertai bengkel-bengkel disediakan KPM, khususnya melibatkan keselamatan di sekolah.
“Isu melibatkan keselamatan anak-anak tidak boleh hanya dipertanggungjawabkan kepada guru-guru sahaja sebaliknya ibu bapa juga perlu turut serta memainkan peranan bersama sekali gus dapat mewujudkan persekitaran sihat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon berkata, tidak adil untuk mengatakan bahawa sekolah bukan lagi kawasan selamat dengan beberapa kes jenayah melibatkan muridnya sejak kebelakangan ini.
Katanya, kawasan sekolah masih lagi selamat dan ia bukan ancaman kepada keselamatan murid namun beberapa penambahbaikan perlu segera dilaksanakan bagi meningkatkan tahap keselamatannya.
“Ia bukan lagi kes terpencil tetapi sejauh mana ia menggugat keselamatan murid? Secara keseluruhannya sekolah masih lagi selamat cumanya perlu ada kesedaran di kalangan ibu, bapa, penjaga, guru bahkan rakan-rakan terhadap sebarang aduan,” katanya.
The post Jangan biar guru sahaja jaga sekolah appeared first on Utusan Malaysia.






