Shuhaily dicadang siasat kegiatan mafia korporat

LocalPolitics
2 Nov 2026 • 5:20 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Shuhaily dicadang siasat kegiatan mafia korporat

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain disyorkan dilantik sebagai anggota pasukan petugas khas antara agensi bagi menyiasat jenayah kewangan, khususnya kegiatan mafia korporat.

Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata cadangan itu mengambil kira pengalaman luas Mohd Shuhaily termasuk sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam bidang penguatkuasaan, selain dilihat mampu menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

“Memandangkan Mohd Shuhaily sudah dipindahkan daripada AKPS ke Kementerian Dalam Negeri (KDN), selama mana beliau berdepan dengan pertuduhan di mahkamah, saya mencadangkan untuk menjimatkan kos perbelanjaan kerajaan, lantik beliau sebagai salah seorang anggota pasukan petugas khas antara agensi ini.

“Saya yakin Mohd Shuhaily mampu menjejak kroni-kroni skandal mafia korporat. Jangan kita buang orang-orang baik seperti ini dan letak di dalam peti sejuk KDN,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Peguam Negara mengetuai pasukan petugas khas membabitkan beberapa agensi penguatkuasaan bagi menyelaraskan siasatan berkaitan kegiatan mafia korporat.

Pasukan berkenaan turut membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) serta pasukan berkaitan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Menurut Wan Ahmad Fayhsal, peruntukan bagi operasi pasukan petugas khas itu dijangka tidak membabitkan kos besar, selain tidak memerlukan pertambahan keanggotaan di Pejabat Peguam Negara.

Beliau turut meminta kerajaan supaya tidak mengetepikan pegawai awam yang mempunyai rekod prestasi baik dalam usaha membanteras rasuah.

“Jangan aniaya pegawai-pegawai kerajaan yang cemerlang dalam melawan rasuah. Sebab itu yang dijanjikan oleh Tambun (Anwar) iaitu sakau, sakau, sakau.

“Namun, apabila membabitkan tindakan, ia tidak selari dengan apa yang dijanjikan. Jadi, saya minta Pengerusi (Dewan Rakyat) supaya cadangan kami diterima oleh Kerajaan MADANI kerana kita sama-sama ingin melawan rasuah,” katanya.

 

The post Shuhaily dicadang siasat kegiatan mafia korporat appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved