KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mencadangkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilantik menganggotai pasukan petugas khas antara agensi bagi menyiasat jenayah kewangan, khususnya kegiatan mafia korporat.
Wan Ahmad Fayhsal (PN-Machang) berkata, cadangan itu mengambil kira pengalaman luas Mohd Shuhaily dalam bidang penguatkuasaan, termasuk ketika berkhidmat di AKPS dan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
"Mohd Shuhaily telah dipindahkan daripada AKPS ke Kementerian Dalam Negeri (KDN), selama mana berdepan dengan pertuduhan di mahkamah, saya mencadangkan untuk menjimatkan kos kerajaan, lantik beliau sebagai salah seorang anggota pasukan petugas khas antara agensi ini.
"Saya yakin Mohd Shuhaily mampu menjejak kroni-kroni skandal mafia korporat. Jangan kita buang orang-orang baik seperti ini dan letak di dalam peti sejuk KDN," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata, operasi pasukan petugas khas berkenaan dijangka tidak memerlukan peruntukan besar atau penambahan keanggotaan di Pejabat Peguam Negara.
“Kerajaan juga tidak boleh mengetepikan pegawai awam yang mempunyai rekod prestasi baik dalam usaha membanteras rasuah,”ujarnya.





