Pengalaman bekas Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain wajar dimanfaatkan dalam pasukan petugas khas antara agensi yang menyiasat jenayah kewangan, khususnya kegiatan mafia korporat.

Memetik laporan Harian Metro, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang berpandangan latar belakang Shuhaily dalam penguatkuasaan, termasuk ketika menerajui Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, dapat membantu siasatan berkenaan.
Menurutnya, pelantikan itu juga boleh menjimatkan perbelanjaan kerajaan susulan perpindahan Shuhaily dari AKPS ke Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Memandangkan Mohd Shuhaily sudah dipindahkan dari AKPS ke Kementerian Dalam Negeri (KDN), selama mana beliau berdepan dengan pertuduhan di mahkamah, saya mencadangkan untuk menjimatkan kos perbelanjaan kerajaan, lantik beliau sebagai salah seorang anggota pasukan petugas khas antara agensi ini.
“Saya yakin Mohd Shuhaily mampu menjejak kroni-kroni skandal mafia korporat. Jangan kita buang orang-orang baik seperti ini dan letak di dalam peti sejuk KDN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan meminta Peguam Negara mengetuai pasukan petugas khas bagi menyelaraskan siasatan berhubung kegiatan mafia korporat.
Pasukan itu melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Turut terlibat ialah pasukan berkaitan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Mengulas keperluan operasi pasukan berkenaan, Wan Ahmad Fayhsal menjangkakan ia tidak memerlukan perbelanjaan besar atau penambahan anggota di Pejabat Peguam Negara.
Dalam perbahasan sama, beliau menggesa kerajaan supaya terus memberikan ruang kepada pegawai awam yang mempunyai rekod prestasi baik dalam membanteras rasuah.
“Jangan aniaya pegawai-pegawai kerajaan yang cemerlang dalam melawan rasuah. Sebab itu yang dijanjikan oleh Tambun (Anwar) iaitu sakau, sakau, sakau.
“Namun, apabila membabitkan tindakan, ia tidak selari dengan apa yang dijanjikan. Jadi, saya minta Pengerusi (Dewan Rakyat) supaya cadangan kami diterima oleh Kerajaan MADANI kerana kita sama-sama ingin melawan rasuah,” tambahnya lagi.
Sumber: Harian Metro (Mukhriz Mat Husin)





