Jangan sebar maklumat tidak sahih kes guru KAFA hilang - Polis

25 Aug 2026 • 9:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jangan sebar maklumat tidak sahih kes guru KAFA hilang - Polis
Mohamad Hijazi dilaporkan hilang selepas keluar dari kediamannya di Sungai Ara pada 22 Ogos lalu.

BAYAN LEPAS – Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kes kehilangan seorang lelaki berusia 26 tahun, Mohamad Hijazi Zamri.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, siasatan lanjut serta usaha mengesan lelaki berkenaan masih giat dijalankan.

Menurutnya, polis turut meneliti sebarang maklumat yang disebarkan berkaitan kes kehilangan itu.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

“Penyebaran maklumat yang tidak disahkan juga boleh menjejaskan dan mengganggu siasatan polis yang sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan keberadaan lelaki berkenaan menyalurkan maklumat terus kepada polis di talian 04-8662222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sebelum ini, polis mengesahkan menerima laporan berkaitan kehilangan Mohamad Hijazi dan kes diklasifikasikan sebagai orang hilang.

Mohamad Hijazi yang juga guru KAFA dilaporkan hilang selepas keluar dari kediamannya di Sungai Ara di sini pada 22 Ogos lalu.

Polis menerima laporan berhubung kehilangan lelaki terbabit yang dibuat bapanya pada 23 Ogos lalu.

Hasil siasatan mendapati Mohamad Hijazi meminta izin daripada ibunya untuk ke Surau Al-Muttaqin, Lilitan Sungai Ara dengan menunggang motosikal Yamaha LC135 berwarna biru bernombor pendaftaran PQG275.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi ahli keluarganya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved