Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperhebat langkah menyeluruh bagi menangani kes keganasan rumah tangga yang semakin membimbangkan, dengan memberi penekanan kepada aspek pencegahan awal, perlindungan mangsa serta tindakan tegas terhadap pelaku.
Dalam satu sidang media semalam, kementerian memaklumkan bahawa satu mesyuarat inter-agensi telah diadakan bagi meneliti aspek perundangan, pencegahan dan pengurusan kes keganasan rumah tangga secara lebih komprehensif, termasuk kemungkinan penambahbaikan kepada undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menegaskan bahawa keganasan rumah tangga merupakan satu jenayah serius yang tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi apabila ia berlaku secara berulang.
“Kita tidak boleh lagi menganggap keganasan rumah tangga sebagai isu dalaman keluarga semata-mata. Ia adalah jenayah yang memerlukan tindakan segera, tegas dan bersepadu. Jika perlu pinda undang-undang atau SOP, kita akan lakukan tanpa kompromi demi melindungi mangsa,” katanya.
KPWKM akan memberi tumpuan kepada dua fasa utama dalam menangani isu ini, iaitu langkah pra-keganasan yang menekankan pencegahan serta langkah pasca-keganasan bagi memastikan mangsa menerima sokongan dan perlindungan yang sewajarnya.

Pendekatan ini bertujuan memastikan intervensi dilakukan lebih awal, selain memperkukuh sistem sokongan selepas kejadian bagi mengelakkan kes berulang.
Antara cabaran utama yang dikenal pasti adalah sikap mangsa yang memilih untuk berdiam diri atau menarik balik laporan selepas berdamai, sekali gus menyebabkan kes menjadi lebih kritikal.
Sehubungan itu, kementerian akan mempergiat usaha meningkatkan kesedaran awam mengenai tanda-tanda awal keganasan rumah tangga, serta menggalakkan komuniti untuk memainkan peranan aktif dalam melaporkan kes yang berlaku di sekeliling mereka.
“Diam bukan penyelesaian. Ia hanya membuka ruang kepada keganasan untuk terus berulang. Mangsa perlu berani tampil, dan masyarakat pula tidak boleh menutup mata terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka,” tambah beliau.
Bagi memastikan mangsa mendapat bantuan segera, KPWKM akan memperluas hebahan serta akses kepada saluran bantuan sedia ada seperti Talian Kasih 15999, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Selain itu, agensi barisan hadapan akan diperkasa untuk memainkan peranan lebih proaktif dalam mengesan kes berisiko tinggi sebelum ia menjadi lebih serius.
Statistik daripada PDRM menunjukkan peningkatan kes keganasan rumah tangga dari tahun ke tahun, dengan 5,507 kes direkodkan pada 2023, meningkat kepada 7,116 kes pada 2024, dan 7,391 kes pada 2025.
Trend ini menjadi isyarat jelas bahawa pendekatan lebih agresif dan menyeluruh perlu dilaksanakan segera.
KPWKM menegaskan komitmen berterusan untuk memperkukuh kerjasama antara agensi dan memastikan setiap kes keganasan rumah tangga ditangani secara cepat, menyeluruh dan berkesan.
“Keselamatan dan kesejahteraan rakyat adalah keutamaan kita. Setiap mangsa berhak dilindungi, didengar dan dibantu. Ini bukan sekadar tanggungjawab kerajaan, tetapi tanggungjawab kita semua sebagai masyarakat,” ujar beliau.






