
KUALA LUMPUR - Orang ramai diberi amaran agar tidak menggunakan MyKad individu lain tanpa kebenaran, dalam segala transaksi berkaitan subsidi petrol di bawah BUDI95.
Jurucakap Kementerian Kewangan (MOF) berkata, kementerian menerima banyak aduan berhubung penyalahgunaan maklumat pengenalan peribadi.
Katanya, dakwaan berkaitan penggunaan data MyKad tanpa kebenaran bagi transaksi BUDI95 merupakan perkara serius dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah undang-undang pendaftaran negara.
“Pemilikan atau penggunaan MyKad individu lain tanpa kuasa yang sah adalah satu kesalahan serius di bawah Peraturan 25, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
“Individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM20,000, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Beliau memberi amaran, tiada pihak dibenarkan menggunakan nombor MyKad atau maklumat identiti individu lain tanpa kebenaran bagi mendapatkan manfaat di bawah skim subsidi petrol bersasar tersebut.
“Susulan aduan yang diterima, kementerian telah mengarahkan syarikat peruncitan petroleum untuk memperketat pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pengesahan MyKad bagi semua transaksi BUDI95.
“Transaksi manual tanpa pengesahan fizikal MyKad adalah dilarang sama sekali, kerana ia membuka ruang kepada penyalahgunaan subsidi, transaksi tidak sah, serta pelanggaran integriti program,” katanya.
Jelas jurucakap itu, pengusaha stesen minyak turut diarahkan menyiasat transaksi yang disyaki melanggar SOP dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang terlibat.
Syarikat minyak juga katanya, diarah memperkukuh sistem pemantauan dalaman bagi memastikan pematuhan berterusan di semua stesen di seluruh negara.
“Antara langkah pembetulan yang diarahkan termasuk latihan semula kakitangan barisan hadapan, paparan SOP yang jelas di kaunter pembayaran, serta pemberian pampasan atau penyelesaian sewajarnya kepada pelanggan terjejas, tertakluk kepada hasil siasatan.
“Pengusaha stesen minyak turut diminta menghubungi pemegang MyKad yang terlibat secara terus bagi membincangkan transaksi yang dipertikaikan serta langkah penyelesaian yang sesuai,” katanya.
Beliau memaklumkan, MOF akan terus memantau corak transaksi di bawah program BUDI95 dan menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran SOP atau penyalahgunaan subsidi bersasar.
“Penerima program BUDI95 digalakkan menyemak rekod transaksi mereka secara berkala melalui portal rasmi BUDI MADANI dan segera membuat laporan polis sekiranya mengesan sebarang pembelian tanpa kebenaran.
“Individu yang terjejas boleh mengemukakan aduan dalam tempoh 30 hari dari tarikh kejadian melalui Pusat Hubungan BUDI MADANI dengan menyertakan laporan polis yang mengandungi butiran seperti tarikh, masa, lokasi stesen minyak, salinan kad pengenalan serta senarai transaksi yang dipertikaikan,” katanya.
Aduan boleh dibuat melalui talian hotline 1300-88-9595, WhatsApp di +603-2631 4595, atau emel di tanya@budi95.gov.my.
Difahamkan, pusat hubungan ini beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu. - Getaran, 29 Mei 2026





