Jangan heret institusi adat dalam kemelut parti politik

LocalPolitics
18 Nov 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jangan heret institusi adat dalam kemelut parti politik

PETALING JAYA: Kepimpinan UMNO didakwa mempunyai agenda tersendiri dalam kemelut politik Negeri Sembilan sehingga menjejaskan keharmonian pentadbiran kerajaan negeri.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, UMNO tidak sepatutnya mengheret institusi adat Negeri Sembilan dalam kemelut yang berpunca daripada kepentingan politik parti.

Katanya, perkara itu sepatutnya diselesaikan dengan mengutamakan adab terhadap Yang di-Pertuan Besar sebelum sebarang pengumuman dibuat.

“Sepatutnya perkara paling penting bagi seorang ketua negeri adalah memaklumkan ataupun memberitahu serta menghadap Yang di-Pertuan Besar terlebih dahulu untuk mendapat perkenan baginda. Barulah perkara tersebut dibincangkan.

“Sebagai seorang yang dilantik menjadi Menteri Besar, sepatutnya dipanggil beliau dan buat sidang akhbar bersama supaya tidak mengaibkan sahabat kita tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR turut mempersoalkan tindakan Barisan Nasional (BN) mengumumkan peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim sedangkan beliau dalam proses untuk menghadap Yang di-Pertuan Besar.

Malah katanya, tindakan mengumumkan peletakan jawatan Ismail sebagai Menteri Besar tidak selari dengan adab serta amalan yang sepatutnya dihormati.

 “Kita nampak apa yang berlaku hari ini amat memeranjatkan kami semua. Kami tidak sangka ia berlaku sebegini cepat kerana kita sedia maklum dan nampak pada hari ini pihak UMNO di peringkat Persekutuan mendahului apa yang sepatutnya berlaku di peringkat negeri.

“Sepatutnya, perkara paling penting bagi seorang ketua negeri adalah memaklumkan ataupun memberitahu serta menghadap Tuanku terlebih dahulu untuk mendapat perkenan baginda. Barulah perkara tersebut dibincangkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, tindakan mengumumkan peletakan jawatan Menteri Besar, sebelum Ismail menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan memperlihat kelemahan komunikasi antara kepimpinan pusat dengan negeri.

“Inilah yang menyebabkan apa yang berlaku di Negeri Sembilan hari ini kerana pimpinan di peringkat pusat mempunyai agenda masing-masing berbanding di peringkat negeri. 

“Akhirnya, perkara ini mengucar-ngacirkan pentadbiran kerajaan negeri yang ada pada hari ini,” katanya.

The post Jangan heret institusi adat dalam kemelut parti politik appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved