SEREMBAN - Tindakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang mengadakan sidang media bagi merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar sebelum mendapat perkenan rasmi daripada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Muhriz adalah amat mendukacitakan.
Pengerusi Sekretariat Taat Setia Sokongan Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir iaitu Datuk Megat Shahriman Zaharudin berkata, langkah mendahului titah perkenan baginda dilihat sebagai sesuatu yang tidak menghormati institusi Raja.
"Ia ibarat 'ayam menetas sebelum bertelur' dan dilihat tidak menghormati kuasa budi bicara Institusi Raja.
"Keseluruhan episod ini mencerminkan sikap kepimpinan UMNO Negeri Sembilan yang seolah-olah enggan mencari titik perdamaian, sebaliknya terus mencetuskan ketegangan dengan pihak Istana," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, pihaknya memandang serius perkembangan politik semasa di Negeri Sembilan susulan kemelut peletakan jawatan Ismail, yang dilihat telah mencemar suasana harmoni dan proses perdamaian yang sedang terjalin di antara kepimpinan negeri dengan Tuanku Muhriz.
Ujarnya lagi, berdasarkan penelitian terhadap kronologi peristiwa yang berlaku, terdapat beberapa kepincangan dalam tatacara pengurusan peletakan jawatan tersebut yang menimbulkan persoalan besar.
"Ketika usaha ke arah perdamaian sedang berlangsung, tindakan UMNO yang didakwa mendesak peletakan jawatan tersebut secara tergesa-gesa dilihat sebagai satu langkah yang tidak menghormati proses perundingan serta semangat muafakat.
"Pengumuman berhubung perkara ini juga telah didahului oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) kepada pihak media tanpa kehadiran atau kenyataan rasmi daripada Datuk Ismail sendiri," katanya.
Jelasnya, ia sekali gus mencetuskan kekeliruan mengenai keabsahan dan kerelaan sebenar di sebalik keputusan tersebut.
Malah katanya, pendedahan kronologi daripada pihak Istana jelas menunjukkan wujudnya tindakan luar biasa apabila surat peletakan jawatan tersebut hanya dihantar ke Istana selepas jam 12 tengah malam melalui wakil firma guaman.
"Keadaan ini memberi gambaran seolah-olah wujud cubaan untuk meletakkan pihak Istana dalam keadaan terdesak tanpa melalui saluran protokol yang sewajarnya.
"Pihak Sekretariat akan terus memantau rapat perkembangan situasi ini dan berdiri teguh dalam mempertahankan kedaulatan, kemuliaan serta tertib Institusi Raja di Negeri Sembilan daripada sebarang percaturan politik yang tidak bertanggungjawab," katanya.






