RM33.5 juta untuk institut pertanian Sabah

18 Nov 2026 • 5:04 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

RM33.5 juta untuk institut pertanian Sabah

Kota Kinabalu: Sabah memperuntukkan RM33.5 juta dalam tempoh lima tahun bagi menaik taraf tiga institusi latihan pertanian sebagai sebahagian usaha melahirkan tenaga kerja yang lebih mahir dan memodenkan sektor agromakanan negeri.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Jamawi Jaafar (gambar) berkata peruntukan bagi tempoh 2026 hingga 2030 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) itu akan menyokong program pembangunan di Institut Pertanian Sabah (IPS), Pusat Latihan Vokasional Pertanian (AVTC) dan Pusat Latihan Pertanian Bersepadu (IATC).

Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Datuk Ruslan Muharam pada majlis konvokesyen gabungan 2026 ketiga-tiga institusi berkenaan yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Selasa.

Jamawi berkata peruntukan itu akan digunakan untuk menaik taraf plot latihan amali pertanian, makmal teknologi, membina asrama baharu serta menambah baik kemudahan penginapan kakitangan bagi menyediakan persekitaran latihan yang lebih kondusif.

“Teknologi pertanian moden termasuk dron penyembur, sensor Internet Kebendaan (IoT), sistem pengairan automatik dan kecerdasan buatan (AI) juga akan diperkasakan di institusi berkenaan.

“Penggunaan teknologi ini dijangka dapat meningkatkan pengeluaran tanaman makanan dan mengurangkan kebergantungan terhadap komoditi import, khususnya jagung bijirin yang digunakan sebagai makanan ternakan,” katanya.

Beliau berkata peningkatan pengeluaran jagung bijirin tempatan juga mampu membantu menstabilkan bekalan dan harga produk ternakan seperti telur dan ayam.

Katanya, kementerian komited memperkukuh keterjaminan makanan, meningkatkan pengeluaran makanan domestik serta mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan dari luar negeri.

Beliau turut menekankan kepentingan melengkapkan graduan pertanian dengan kemahiran yang diperlukan untuk mengadaptasi amalan pertanian moden dan menyumbang kepada pembangunan sektor berkenaan.

Seramai 246 graduan daripada ketiga-tiga institusi menerima skrol masing-masing pada majlis konvokesyen yang diadakan secara bersama buat pertama kali itu.

Kesemua 246 graduan mencatatkan kadar kelulusan 100 peratus, manakala kadar kebolehpasaran graduan IPS dan AVTC masing-masing mencatatkan 64.5 peratus dan 82.5 peratus di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Graduan perlu menjadi agen perubahan dengan mempromosikan amalan pertanian baik serta mengaplikasikan ilmu yang diperoleh sepanjang latihan bagi memperkukuh pengeluaran makanan dalam komuniti masing-masing,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved