
PETALING JAYA – Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong kesal terhadap segelintir netizen yang memuat naik komen menghina dan berniat jahat di media sosial susulan pemergian Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.
Beliau berkata, orang ramai sememangnya ramai yang menzahirkan ucapan takziah dan berkongsi kenangan terhadap Allahyarham, namun terdapat segelintir komen yang dianggap keterlaluan termasuk kenyataan berbentuk serangan terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Menurut beliau, perbezaan pendirian politik tidak menghalang seseorang untuk berbahas atau mengkritik, namun rasa tidak puas hati dalam politik tidak sepatutnya dibawa sehingga menyentuh orang yang telah meninggal dunia atau keluarga yang sedang berdepan kehilangan insan tersayang.
“Politik boleh ada pendirian, pandangan boleh dikritik, tetapi walaupun berbeza pendirian, kita seharusnya masih mempunyai rasa hormat dan empati paling asas,” katanya, hari ini.
Beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap segelintir individu yang dipercayai menggunakan akaun palsu untuk memuat naik komen ekstrem atau sensitif di media sosial.
“Sesetengah orang memang bersifat terus terang, tetapi terus terang bukan bermakna boleh bercakap tanpa batas, apatah lagi mengeluarkan kata-kata yang menyakiti hati, berbentuk sumpahan atau provokasi kerana mengikut emosi seketika.
“Lebih-lebih lagi apabila menyentuh isu politik, kaum dan perkara sensitif, satu perkataan yang dilontarkan boleh menimbulkan salah faham yang tidak perlu. Jadi, semua pihak perlu lebih berhati-hati,” katanya.
Beliau berharap netizen dapat mengamalkan lebih banyak sikap hormat dan empati ketika menyuarakan pandangan. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Jangan hina, caci orang meninggal dunia’ appeared first on Kosmo Online.



![[VIDEO] Ramai ziarah pusara Tun Siti Hasmah, suasana sayu jadi perhatian](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/pusara-TH-1024x768.jpeg)


