Jalur Gemilang berkibar di tiang tertinggi Asia Tenggara

26 Aug 2026 • 10:36 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Jalur Gemilang

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan bendera Jalur Gemilang dikibarkan pada tiang bendera tertinggi negara ini di Dataran Selangor, di sini, hari ini sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-69 dan Hari Malaysia.

Istana Alam Shah dalam kenyataannya berkata, baginda bertitah pengibaran Jalur Gemilang itu sebagai simbolik kecintaan kepada tanah air selain menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan rakyat.

Katanya, baginda bertitah, Jalur Gemilang bukan sekadar bendera yang dikibarkan ketika menyambut kemerdekaan, sebaliknya merupakan lambang sebuah negara yang dimiliki dan dikongsi bersama oleh seluruh rakyat.

“Walaupun kita berbeza bangsa, agama, bahasa, fahaman politik dan latar belakang, Jalur Gemilang mengingatkan kita tetap rakyat sebuah negara yang sama. Bendera itu milik kita semua. Kita perlu bangga kerana ia adalah simbol perpaduan nasional,” katanya, hari ini.

Terdahulu, baginda berkenan Jalur Gemilang dikibarkan pada tiang bendera tertinggi di Asia Tenggara di dataran yang terletak di Kelab Shah Alam selama 23 hari bermula hari ini hingga 17 September depan.

Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah berkenan mencemar duli hadir menyaksikan upacara menaikkan bendera seberat 50 kilogram pada tiang setinggi 120 meter itu oleh Bintara Panji-Panji daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berlangsung pada pukul 9 pagi.

Dalam kenyataan sama, Istana Alam Shah memberitahu, Sultan Sharafuddin menitahkan supaya generasi muda dididik untuk menghormati masyarakat daripada agama, kaum dan budaya yang berbeza.

“Para pemimpin dan ahli politik pula hendaklah menunjukkan teladan dengan mengamalkan kesederhanaan, toleransi dan sifat belas ihsan, serta tidak menjadikan perbezaan politik, kaum atau agama sebagai alasan untuk memecahbelahkan rakyat.

“Mengibarkan ribuan Jalur Gemilang sepanjang bulan kemerdekaan adalah mudah. Namun, tugas yang jauh lebih besar ialah membina sebuah Malaysia di mana rakyat daripada setiap kaum, agama dan latar belakang benar-benar berasa dihormati, diterima dan bangga menjadi rakyat Malaysiaa,” tambah kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, Sultan Selangor turut menyeru seluruh rakyat supaya menjadikan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara sebagai kesempatan untuk memperkukuh semula semangat perpaduan, kebersamaan dan rasa saling hormat-menghormati.

“Nilai sebenar kedua-duanya terletak pada kemampuan kita semua mempertahankan sebuah negara yang rakyatnya dapat hidup bersama dalam aman, saling menghormati dan bersatu padu,” titah baginda. – UTUSAN

The post Jalur Gemilang berkibar di tiang tertinggi Asia Tenggara appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved