AYER KEROH - Rakyat tidak seharusnya dijadikan kambing hitam dalam percaturan politik semata-mata untuk meraih kemenangan dalam pilihan raya.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Siti Aishah Shaik Ismail berkata, cara politik seumpama itu seharusnya ditolak oleh semua.
"Kita menolak politik seperti ini. Rakyat bukan kambing hitam politik. Rakyat bukan alat mendapatkan kuasa.
"Rakyat bukan barang dagangan politik. Politik sepatutnya mendidik, bukan menghasut, menyatukan bukan memecahkan," katanya ketika berucap membentangkan usul MPP di Kongres Nasional Keadilan 2026 di sini pada Sabtu.
Menurutnya, rakyat tidak sepatutnya hanya diperlukan ketika pilihan raya atau dicari apabila undi diperlukan.
Sebaliknya tambah beliau, rakyat perlu terus menjadi keutamaan meskipun selepas pilihan raya.
"Kita mahu mengubah budaya daripada menadah tangan kepada membina keupayaan, daripada bergantung kepada peluang, daripada bantuan semata-mata kepada pemberdayaan, daripada kemiskinan kepada kehidupan bermaruah.
"Negara ini milik rakyat. Pembangunan ini kerana rakyat. Kemakmuran ini mesti dikongsi rakyat," katanya.
Beliau turut menegaskan hasrat supaya Malaysia Madani menjulang perpaduan dengan mengangkat maruah rakyat dan bukan menjadikan mereka sebagai barang dagangan politik.
Dalam pada itu, beliau menyeru perwakilan dan pemerhati supaya membuat pilihan terhadap bentuk politik yang mahu dibawa demi masa depan negara.
"Kita mempunyai pilihan. Kita boleh memilih politik yang membahagikan rakyat atau politik yang menyatukan rakyat.
"Kita boleh memilih politik identiti atau politik prestasi.Kita boleh memilih kebencian atau kita boleh memilih hormat.
"Kita boleh memilih kepentingan kelompok atau kita boleh memilih masa depan bersama. Maka perjuangan kita jelas," katanya.






