
PUCHONG: Akta Parlimen perlu dipinda bagi memastikan setiap wakil rakyat yang dipilih rakyat wajib diberi peruntukan secara automatik tanpa mengira parti atau kedudukan politik.
Pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, pemberian peruntukan tidak seharusnya bergantung kepada telunjuk pihak eksekutif atau Perdana Menteri yang boleh menimbulkan ketidakadilan kepada kawasan tertentu di samping ia tidak lagi dijadikan alat politik.
Katanya, langkah itu bertujuan memastikan semua ahli Parlimen mendapat peruntukan secara adil bagi membolehkan mereka menjalankan tanggungjawab kepada kawasan masing-masing.
“Oleh itu, kita tidak mahu isu ini terperangkap dalam permainan politik kerana coraknya memang begitu. Ketika menjadi pembangkang mereka meminta, tetapi apabila menjadi kerajaan, mereka pula melakukan perkara yang sama
“Peruntukan kawasan perlu diberikan secara automatik berdasarkan kemenangan seseorang calon dalam pilihan raya tanpa mengira parti politik yang diwakilinya.
“Perkara berkenaan merupakan sebahagian daripada janji reformasi Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, namun ia yang masih belum diberi perhatian,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen mendakwa pejabatnya dinafikan akses ke portal MyKhas secara tiba-tiba tanpa sebarang notis, sekali gus menjejaskan urusan permohonan peruntukan Projek Mesra Rakyat (PMR) untuk kawasan Parlimen berkenaan.
Beliau berkata, portal yang dikendalikan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu merupakan platform penting bagi memuat naik, mengurus dan memproses permohonan berkaitan peruntukan rakyat.
Tambah Rafizi, kuasa menentukan peruntukan kawasan tidak seharusnya digunakan sebagai alat untuk memberi tekanan kepada Ahli Parlimen tertentu.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan rakyat di setiap kawasan tetap menerima manfaat peruntukan tanpa dipengaruhi perbezaan politik.
Justeru itu kata beliau, Bersama akan membawa isu peruntukan kawasan Parlimen diletakkan mengikut Akta Parlimen sebagai salah satu kerangka dasar dalam Kertas Kancil.
“Bersama akan memperinci cadangan berkaitan peruntukan kawasan menerusi siri Kertas Kancil yang akan diterbitkan menjelang Hari Merdeka.
“Setiap Kertas Kancil akan menghuraikan langkah dasar, akta dan program yang diperlukan untuk menangani pelbagai masalah rakyat.
Rafizi berkata, usaha itu selari dengan matlamat Bersama untuk menawarkan penyelesaian dasar berbeza, selain mengurangkan politik yang hanya tertumpu kepada tuding-menuding.
“Bersama mahu memastikan reformasi Parlimen dilaksanakan secara menyeluruh supaya wakil rakyat dapat menjalankan tanggungjawab tanpa bergantung kepada keputusan pihak eksekutif.
“Buat masa ini, parti-parti besar menganggap Bersama sebagai parti kecil dan tidak memberi kesan. Sebab itu, apa yang kami bawa tidak diendahkan. Namun, saya percaya jika suara ini terus diketengahkan, perkara ini akhirnya akan mendapat sambutan dan sokongan daripada rakyat.
“Kita tidak mahu berlaku keadaan apabila PH kalah pada masa akan datang, mereka tiba-tiba tampil menjadi juara isu ini dengan mendakwa perkara tersebut tidak dilaksanakan di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya. –UTUSAN
The post Pinda akta, wajibkan ahli Parlimen dapat peruntukkan automatik appeared first on Utusan Malaysia.






