Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan ibu bapa supaya tidak menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik anak-anak kepada pihak sekolah dan guru sehingga mengabaikan perkembangan serta aktiviti harian mereka.
Menurut beliau, ibu bapa perlu memainkan peranan lebih aktif dalam membentuk disiplin dan sahsiah anak-anak bagi mengelakkan mereka terjebak dalam gejala tidak bermoral.
Anwar turut meluahkan kebimbangan terhadap masa depan generasi muda sekiranya ibu bapa terlalu bergantung kepada orang lain tanpa memberikan pemantauan dan didikan sewajarnya.
“Ibu bapa ambil tanggungjawab. Tengok anak-anak ini semua bersih, tunjuk kasih sayang yang baik, sangat menyentuh perasaan saya.
“Bagaimanapun, saya bimbang mengenai kedudukan dan masa depan mereka jika ibu bapa itu hanya menyerah begitu saja bulat-bulat kepada keadaan dan suasana, tanpa mengawal dan mendidik mereka,” katanya.
Kredit Foto: BERNAMA
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan kerjasama keluarga amat penting bagi memastikan anak-anak menjalani kehidupan yang berdisiplin, khususnya sepanjang tempoh persekolahan.
“Kerjasama daripada ibu bapa dan keluarga sangat penting untuk (memastikan) disiplin anak-anak.
“(Jangan) sampai ada yang tidak tahu anak dia baca buku atau tidak, balik malam atau tidak, lakukan kerja sekolah atau tidak, mulai menghampiri dadah atau tidak,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mahu ibu bapa lebih mengambil tahu mengenai pergaulan, pembelajaran dan rutin harian anak-anak agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan gejala negatif.
Sumber: FB Anwar Ibrahim







