Jangan Mudah Kongsi, Sebar Video Kanak-Kanak Mangsa Cabul - Nancy

LocalPolitics
26 Feb 2025 • 1:42 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar BERNAMA

IPOH - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri meminta orang ramai dan pengguna media sosial tidak sewenang-wenang berkongsi video mangsa cabul di sebuah masjid di Batang Kali, Hulu Selangor pada 21 Februari lepas.

Nancy berkata kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa itu dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dan perbuatan menyebar serta berkongsi video berkenaan adalah tidak wajar.

"Hari-hari kita bercakap tentang hal ini, masih juga terjadi. Kita harap sesiapa yang terima video atau berada di situ (tempat kejadian) tidak semudahnya berkongsi keadaan mangsa cabul yang tentunya masih trauma dengan kejadian berkenaan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa peringkat zon utara di sini hari ini.

Nancy berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu kes itu, termasuk memberi pandangan terutama isu berkaitan kebajikan mangsa serta keluarganya.

Dalam pada itu, beliau turut memohon pihak masjid memperketat aspek keselamatan supaya kejadian sama tidak berulang terutama menjelang Ramadan dan umat Islam akan menunaikan solat tarawih.

"CCTV (kamera litar tertutup) dan fasiliti keselamatan lain boleh digunakan supaya tidak ada pihak yang boleh mengambil kesempatan dengan mudah di dalam kawasan masjid," katanya. - BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved