
Kerajaan dan semua pihak berkepentingan perlu bertindak segera bagi menangani isu keganasan di sekolah sebelum berlaku tragedi lebih buruk, kata Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.
Menurut beliau, sekolah sepatutnya menjadi antara tempat paling selamat untuk anak-anak selepas rumah, namun kejadian keganasan serius melibatkan pelajar menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa mengenai tahap keselamatan mereka.
“Kes keganasan di sekolah salah siapa? Jangan tunggu nyawa seterusnya melayang baru mahu bertindak,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tragedi kematian pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, baru-baru ini.
Susulan kejadian itu, polis menahan tiga pelajar lelaki berusia 16 tahun bagi membantu siasatan.
Menurut Akmal, setiap kejadian tidak seharusnya hanya dilihat sebagai kes terpencil sebelum kenyataan simpati dikeluarkan, sedangkan tindakan hanya diambil selepas berlaku kejadian seterusnya.
Keselamatan Murid Tanggungjawab Bersama
Katanya, isu keselamatan anak-anak tidak wajar dijadikan pertikaian antara kerajaan dan pembangkang kerana semua pihak mempunyai tanggungjawab untuk memastikan keselamatan mereka.
“Tidak ada seorang pun menteri yang mahukan kes bunuh atau keganasan berlaku di sekolah. Namun, kes seperti ini akan terus berleluasa jika semua pihak hanya menunggu orang lain bertindak.
“Ibu bapa, guru, sekolah, kerajaan dan masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, Akmal mengingatkan ibu bapa supaya tidak menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik dan mengawasi anak kepada pihak sekolah, khususnya apabila berdepan isu disiplin.
“Kita tidak boleh asyik menyalahkan kerajaan, menteri atau pihak sekolah. Sedangkan di pihak kita sendiri apabila ada isu disiplin anak sendiri pun masih kita salahkan pihak sekolah,” ujarnya.
Cadang Perkukuh Sistem Keselamatan Sekolah
Akmal turut mengemukakan beberapa langkah yang menurutnya telah dibincangkan menerusi RIMBUN 1.0 pada awal tahun ini bagi memperkukuh aspek keselamatan dan disiplin di sekolah.
Antaranya termasuk mengembalikan autoriti disiplin kepada guru, termasuk pelaksanaan hukuman rotan secara terkawal mengikut prosedur dan tidak keterlaluan.
Beliau turut mencadangkan pewujudan Akta Perlindungan Guru dan Murid bagi memastikan guru yang bertindak mengikut prosedur mendapat perlindungan sewajarnya, selain memastikan murid dilindungi daripada tindakan yang melampaui batas.
Selain itu, beliau mencadangkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) secara menyeluruh di kawasan strategik sekolah seperti koridor, tangga, pintu masuk, kawasan tersorok dan lokasi berisiko.
“Jangan hanya mencari rakaman selepas tragedi berlaku. Gunakan teknologi untuk mencegah tragedi sebelum ia berlaku,” katanya.
Beliau juga mencadangkan pemantauan lebih ketat terhadap kandungan yang mengagungkan budaya samseng, pergaduhan, buli dan keganasan dalam kalangan pelajar.
Pada masa sama, sistem pengesanan awal pelajar berisiko perlu diperkukuh dengan melibatkan guru disiplin, kaunselor dan pentadbir sekolah bagi mengenal pasti ancaman, pergaduhan, buli, ugutan atau perubahan tingkah laku yang membimbangkan.
Jangan Tunggu Tragedi Seterusnya
Akmal berkata, ibu bapa juga perlu lebih peka terhadap perubahan emosi dan tingkah laku anak-anak supaya sebarang tanda awal dapat dikenal pasti dan ditangani.
“Isunya hari ini bukan mencari siapa yang hendak dipersalahkan.
“Isunya ialah adakah kita mahu bertindak sebelum berlaku kematian seterusnya, atau hanya bertindak selepas semuanya terlambat?” katanya.
Beliau menegaskan nyawa dan keselamatan anak-anak tidak seharusnya dijadikan bahan eksperimen dasar atau modal politik semata-mata.
Baca juga:“Sekolah mesti menjadi tempat untuk membina masa depan, bukan tempat nyawa dan keselamatan anak-anak dipertaruhkan,” katanya.






