
Kota Kinabalu: Pertubuhan Komuniti Adat Anak Negeri Sabah (Maans–Sunduan Nabalu) menyambut baik penjelasan pengurusan tertinggi Taman-Taman Sabah berhubung pembinaan Pusat Latihan Altitud Tinggi (HATC) di kawasan Gunung Kinabalu, termasuk pelaksanaan upacara adat sebelum kerja pembinaan dimulakan.
Presidennya, Murug Vinangun Shalmon Sanangan, menggesa semua pihak supaya tidak mempolitikkan isu HATC atau menggunakannya untuk kepentingan peribadi mahupun agenda pihak tertentu.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya bertenang, tidak membuat kesimpulan terburu-buru dan mengelak daripada menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga boleh menimbulkan salah faham.
“Perbezaan pandangan perlu ditangani menerusi dialog, fakta dan sikap saling menghormati, bukannya tuduhan, provokasi atau penyebaran maklumat tidak tepat,” katanya.
Beliau berkata, kemajuan tidak semestinya perlu mengorbankan warisan, manakala usaha memelihara khazanah alam dan adat juga tidak seharusnya menghalang pembangunan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Bagaimanapun, beliau berharap agar libat urus dan rundingan dengan komuniti anak negeri dijadikan amalan berterusan dalam semua perancangan pembangunan yang melibatkan kawasan yang mempunyai kepentingan adat dan kerohanian.
Beliau berkata Maans bercadang mengadakan dialog rasmi dengan pengurusan Taman-Taman Sabah bagi memperkukuh persefahaman, komunikasi dan kerjasama jangka panjang.
“Dialog itu bukan bertujuan mencabar usaha pembangunan yang telah dilaksanakan, sebaliknya merupakan langkah konstruktif ke arah membina persefahaman dan mengelakkan salah faham pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Antara perkara yang dicadangkan untuk dibincangkan ialah mekanisme pelibatan komuniti anak negeri sebelum pembangunan baharu dilaksanakan, kaedah mengenal pasti dan melindungi kawasan yang dianggap suci atau mempunyai kepentingan kerohanian, pengiktirafan terhadap upacara dan protokol adat serta pembentukan garis panduan kerjasama.
Shalmon, yang juga anggota Jawatankuasa Pakar Warisan Adat Kebangsaan Jabatan Warisan Negara, berkata Gunung Kinabalu bukan sekadar kawasan geografi, destinasi pelancongan atau lokasi penyelidikan saintifik, malah mempunyai kedudukan istimewa dalam sejarah, kepercayaan, adat dan identiti komuniti anak negeri Sabah.
Beliau berkata, menurut kepercayaan tradisional, Gunung Kinabalu dikenali sebagai Pongoluan, iaitu tempat bersemayam roh nenek moyang, yang membawa kepentingan kerohanian serta melambangkan hubungan dengan leluhur dan kesinambungan identiti anak negeri.
Sehubungan itu, katanya, pemeliharaan gunung berkenaan perlu merangkumi dua dimensi, iaitu pemuliharaan fizikal yang melibatkan ekosistem, hutan, geologi dan landskap semula jadi, serta perlindungan kerohanian dan adat yang menghormati kawasan suci, kepercayaan anak negeri dan amalan tradisional.
Beliau berkata Maans mengiktiraf kepentingan pembangunan kemudahan latihan altitud tinggi dan penyelidikan yang telah lama diwujudkan di negara seperti Switzerland, Perancis, Kenya dan Ethiopia.
Katanya, kemudahan seumpama itu berperanan dalam latihan atlet, penyelidikan fisiologi manusia, penyesuaian tubuh terhadap keadaan kekurangan oksigen, persediaan ekspedisi gunung serta peningkatan keupayaan keselamatan dan tindak balas kecemasan.
Kemudahan itu juga berpotensi meningkatkan pengetahuan dan kesiapsiagaan dalam menghadapi cabaran berkaitan kawasan pergunungan, termasuk gempa bumi, tanah runtuh, perubahan cuaca ekstrem dan operasi menyelamat.
Bagaimanapun, katanya, pengalaman negara lain tidak bermakna semua lokasi mempunyai keadaan yang sama kerana kesesuaian sesuatu pembangunan perlu mengambil kira ciri geografi dan ekologi, status perlindungan kawasan serta nilai warisan dan kerohanian komuniti setempat.
Beliau berkata Maans tidak mendakwa sebagai satu-satunya suara yang mewakili semua kumpulan etnik atau pengamal adat di Sabah, sebaliknya bersedia menjadi platform untuk menghimpunkan pelbagai pandangan dan tradisi komuniti anak negeri.
Maans turut mengadakan rundingan lanjut, termasuk pertemuan dan perbincangan dengan Bobohizan daripada pelbagai kumpulan etnik serta pemimpin masyarakat dan pengamal adat yang mempunyai pengetahuan mengenai sejarah, kepercayaan dan hubungan leluhur dengan Gunung Kinabalu.
Beliau berkata, penglibatan komuniti anak negeri sejak peringkat awal perancangan pembangunan dapat membantu mengelakkan salah faham, membina kepercayaan dan mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan dengan komuniti berkenaan.
Dalam pada itu, beliau mengulangi gesaan supaya semua pihak tidak mempolitikkan isu pembangunan HATC atau menggunakannya untuk kepentingan peribadi mahupun agenda pihak tertentu.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya bertenang, tidak membuat kesimpulan terburu-buru dan mengelak daripada menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga boleh menimbulkan salah faham.
“Perbezaan pandangan perlu ditangani menerusi dialog, fakta dan sikap saling menghormati, bukannya tuduhan, provokasi atau penyebaran maklumat tidak tepat,” katanya.
Beliau berkata, kemajuan tidak semestinya perlu mengorbankan warisan, manakala usaha memelihara khazanah alam dan adat juga tidak seharusnya menghalang pembangunan yang memberi manfaat kepada masyarakat.






