Jangan rendahkan status RCI Tabung Haji – Tuan Ibrahim

LocalPolitics
17 Aug 2026 • 7:33 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jangan rendahkan status RCI Tabung Haji – Tuan Ibrahim

TEMERLOH: Kerajaan tidak seharusnya merendahkan status Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) dengan membentangkannya sekadar sebagai penyata menteri di Dewan Rakyat.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada Ketua Whip dan Yang Dipertua Dewan Rakyat supaya pembentangan laporan itu ditangguhkan selepas mendapat maklumat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dapat hadir kerana tidak sihat.

“Kita telah menulis surat kepada Ketua Whip dan Speaker beberapa hari sebelum persidangan selepas mendapat maklumat Perdana Menteri tidak dapat hadir kerana tidak sihat.

“Kita mohon supaya persida­ngan ditangguhkan dahulu ke­ra­na kita menganggap ini laporan Suruhanjaya Diraja yang ditandatangani Yang di-Pertuan Agong, tidak patut ia hanya dibentangkan sebagai penyata menteri,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Mujahid Siber Pas Nasional di Kompleks Al-Makmur, Kerdau di sini semalam.

Tuan Ibrahim berkata, laporan RCI berkenaan sewajarnya dibentangkan sendiri Perdana Menteri kerana kedudukannya sebagai laporan Suruhanjaya Diraja yang mempunyai kepen­tingan besar kepada negara dan pendeposit TH.

“Penyata menteri ini macam kita merendahkan laporan tersebut. Bagi kita, yang layak bentang adalah Perdana Menteri kerana Yang di-Pertuan Agong yang menandatangani dan ia merupakan Suruhanjaya Diraja.

“Kalau Perdana Menteri tidak sihat, tidak mengapa, kita tangguh dahulu. Sekarang beliau sudah sihat, apa masalah kalau dibentangkan pada Isnin atau Selasa? Tidak perlu tergesa-gesa,” katanya.

Menurutnya, pembentangan sebagai penyata menteri juga tidak memberikan ruang perbahasan dan tindakan susulan yang sewajarnya berbanding jika laporan berkenaan dibawa sebagai usul di Parlimen.

Beliau berkata, kerajaan juga dilihat gagal bertindak terhadap beberapa syor dalam laporan RCI yang telah siap lebih tiga tahun lalu.

“Kenapa selepas lebih tiga tahun, ketika sudah menghampiri pilihan raya baru hendak ambil tindakan? Kita melihat kelewatan ini menimbulkan persoalan,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, perbahasan di Parlimen tidak sepatutnya berakhir dengan sekadar menerima laporan tanpa pelan tindakan yang jelas terhadap syor-syor yang dikemukakan. – UTUSAN

The post Jangan rendahkan status RCI Tabung Haji – Tuan Ibrahim appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved