
ALOR SETAR: Tindakan Ahli Parlimen Pas dan Wawasan meninggalkan sidang khas Dewan Rakyat berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) mengecewakan kerana mereka sepatutnya kekal bagi mendapatkan penjelasan mengenai isu yang membabitkan kepentingan jutaan pendeposit.
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, alasan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak hadir untuk mendengar penjelasan berhubung isu itu menimbulkan persoalan mengenai keutamaan pembangkang.
Katanya, sidang khas berkenaan adalah untuk membincangkan Laporan RCI Tabung Haji dan bukannya semata-mata untuk mendengar penjelasan Perdana Menteri.
“Kalau Pas perjuang kepentingan pendeposit, tumpuan patut diberikan kepada penemuan RCI, kelemahan tadbir urus, campur tangan politik, pematuhan undang-undang, pengurusan pelaburan serta cadangan pembaharuan Tabung Haji.
“Inilah percanggahan yang sukar difahami, mereka mahu penjelasan kerajaan beri ruang. Menteri bagi penerangan tetapi mereka yang meninggalkan Dewan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mahfuz, ketidakhadiran Perdana Menteri kerana menjalani rawatan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk wakil rakyat mengabaikan tanggungjawab mereka kepada pendeposit.
Katanya, pembangkang tidak wajib bersetuju dengan penjelasan kerajaan, namun mereka bertanggungjawab untuk mendengar, menyoal, mencabar dan mengemukakan alternatif berdasarkan fakta.
“Siapa sebenarnya yang buang masa, rakyat memilih ahli Parlimen untuk ke Dewan bukan sekadar mencatat kehadiran. Jangan sampai kerja Parlimen hanya tinggal tiga perkara iaitu datang, tekan butang kemudian keluar.
“Kesian rakyat beratur, berpanas dan buang masa mengundi Ahli Parlimen Perikatan Nasional yang datang Parlimen tetapi lari tinggal tanpa tunai tanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, Mahfuz turut mempersoalkan pendirian Pas berhubung tadbir urus Tabung Haji apabila dibandingkan dengan kenyataan parti itu pada 2016 yang menyatakan keyakinan terhadap kemantapan sistem tadbir urus institusi berkenaan.
“2016 kata tadbir urus Tabung Haji mantap. 2026 apabila RCI hendak diterangkan, kata buang masa. Apa yang berubah, Tabung Haji atau pendirian Pas,” katanya. – UTUSAN
The post RCI TH: Mahfuz anggap undi Pas, Wawasan buang masa appeared first on Utusan Malaysia.





