
Apa sudah jadi dengan negeri Selangor? Hujan lebat berterusan tidak sampai empat jam sudah cukup untuk menenggelamkan beberapa kawasan.
Persoalannya, adakah ini sekadar fenomena alam yang tidak dapat dielakkan atau petanda ada sesuatu yang tidak kena dengan perancangan dan pengurusan pembangunan di sebahagian kawasan di negeri ini?
Kampung Melayu Subang antara kawasan yang paling teruk terjejas kali ini. Dalam tempoh hanya sembilan hari, penduduk terpaksa berdepan empat kali banjir. Malah ada yang mendakwa kawasan mereka sudah dilanda banjir kilat sebanyak tujuh kali sejak Februari tahun ini.
Ini bukan lagi kejadian luar biasa. Ini sudah menjadi penderitaan yang berulang-ulang. Penduduk terpaksa menanggung tekanan dan trauma setiap kali hujan lebat.
Taman Saujana Aman di Kuala Selangor turut berdepan masalah sama. Banjir kilat yang kerap berlaku seolah-olah sudah menjadi sebahagian daripada acaran tahunan penduduk, malah bukan sekali dalam setahun.
Lebih menyedihkan, ada penduduk yang sudah tidak sanggup membeli perabot dan barangan elektrik baharu kerana bimbang semuanya akan rosak sekali lagi.
Masalah sama turut berlaku di laluan-laluan utama di Selangor. Setiap kali hujan lebat berterusan, beberapa jalan utama dinaiki air sehingga mengganggu pergerakan dan memutuskan hubungan antara kawasan.
Laluan menuju ke Plaza Tol Shah Alam di Lebuh Raya Baru Lembah Klang, misalnya, antara lokasi yang sering dinaiki air selain laluan di Puncak Alam dan kawasan berdekatan.
Keadaan ini menimbulkan satu persoalan besar: Mengapa masalah yang sama terus berulang, sedangkan lokasi yang terjejas sudah dikenal pasti sejak sekian lama?
Kita tidak pernah menafikan hujan adalah ketentuan Allah. Manusia tiada kuasa untuk menghalang hujan, namun kita dikurniakan akal, ilmu dan kemampuan untuk merancang, membuat persediaan serta mengurangkan risiko bencana.
Kadar hujan melampau dalam tempoh singkat dijadikan alasan setiap kali banjir berlaku bukanlah jawapan memadai.
Antara punca banjir ialah pembangunan pesat tanpa perancangan teliti, sistem saliran tidak lagi mampu menampung peningkatan aliran air, kolam takungan tidak mencukupi atau tidak diselenggara serta sistem perparitan tersumbat, selain kawasan hutan dimusnahkan.
Semua faktor ini sepatutnya diteliti secara serius, bukannya sekadar disenaraikan setiap kali banjir berlaku.
Jika punca masalah sudah dikenal pasti, mengapa penyelesaian menyeluruh tidak dilaksanakan sebelum ini?
Lebih membingungkan, projek pembangunan dan perumahan baharu masih diteruskan di kawasan yang diketahui sering berdepan risiko banjir.
Adakah penilaian risiko banjir benar-benar diberikan perhatian sebelum sesuatu projek diluluskan?
Adakah kapasiti saliran dan kolam takungan dinilai berdasarkan kesan keseluruhan pembangunan di sesuatu kawasan atau hanya berdasarkan keperluan projek secara berasingan?
Persoalannya bukan lagi berapa kali Selangor akan dilanda banjir selepas ini, tetapi berapa lama lagi penduduk perlu menunggu sebelum masalah sama benar-benar diselesaikan?
Jangan terlalu ghairah membina pembangunan sehingga terlupa membina sistem yang mampu melindungi kehidupan manusia.
The post Jangan salahkan hujan setiap kali banjir appeared first on Kosmo Online.






