'Jangan sembelih 'angsa emas' demi hasil segera' – Hamzah

LocalPolitics
12 Oct 2026 • 2:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Jangan sembelih 'angsa emas' demi hasil segera' – Hamzah
Hamzah ketika membahaskan Belanjawan 2027 pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Kerajaan diingatkan supaya tidak membebankan 'angsa emas' negara seperti Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dengan keputusan politik.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, institusi strategik itu perlu diberi ruang menjalankan peranan masing-masing tanpa dipaksa menanggung kos atau melaksanakan keputusan kerajaan yang boleh menjejaskan kedudukan kewangan mereka.

"Kita semua tahu kisah angsa yang bertelur emas. Tuannya tidak sabar menunggu sebiji telur sehari, lalu disembelihnya angsa itu untuk mengambil semua emas sekali gus.

"Akhirnya, tuan juga yang rugi. Itu tidak apa, (tetapi) generasi depan akan menghadapi kesukaran yang lebih dari apa yang berlaku hari ini," katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 pada Isnin.

Memberi contoh Petronas, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut menjelaskan, institusi itu membayar dividen kepada kerajaan sebanyak RM40 bilion pada 2023, RM32 bilion bagi 2024 dan 2025.

Malah menurutnya, entiti itu juga akan membayar RM27 bilion dividen bagi tahun 2026 dan RM32 bilion bagi tahun 2027 dengan lima belanjawan berjumlah RM163 bilion.

Sedangkan beliau berkata, Petronas memerlukan dana yang besar untuk melabur berbilion ringgit dalam Fasa 2 LNG Canada, Suriname, Turkmenistan dan Pengerang, seperti yang disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Dalam ucapan sama, Tambun berkata Petronas kini telah memulakan pembangunan 10 ekar pertama bagi menyediakan perumahan mampu milik di atas tanah rizab Melayu di Kuala Lumpur.

"Jadi saya keliru (adakah) Petronas sudah tukar 'core business' daripada industri petroleum kepada projek perumahan mampu milik.

"Tugas kerajaan ialah menjaga angsa itu supaya terus bertelur, bukan menyiksanya," ujarnya.

Mengenai TNB, Hamzah mempersoalkan keputusan kerajaan memperluas perlindungan bil elektrik daripada penggunaan 600 kilowatt-jam (kWj) kepada 800kWj sebulan, yang menurutnya menyebabkan syarikat itu menanggung kos RM150 juta.

"Ini bermakna, diskaun elektrik tersebut sebenarnya dibayar oleh setiap pemegang unit amanah saham dan setiap pencarum KWSP," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved