johardy10/10/2026 - 16:44 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 10 Okt - Tenaga Nasional Bhd (TNB) menyambut baik perlindungan bil elektrik yang memanfaatkan lebih lapan juta pengguna domestik sebagai sebahagian daripada langkah menjaga kebajikan pengguna yang diberi penekanan dalam Belanjawan 2027.
Aras perlindungan itu meliputi penggunaan elektrik sehingga 800 kilowatt-jam (kWj) sebulan berbanding 600 kWj sebelum ini dan berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2026. Peluasan tersebut telah diumumkan pada 17 September lalu.
Inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada sehingga 90% daripada keseluruhan pengguna domestik, menurut TNB dalam kenyataan pada Sabtu.
Selain perlindungan bil, syarikat utiliti itu menyokong pelaburan RM15 bilion bagi memperkukuh Grid Nasional yang diberi penekanan dalam belanjawan berkenaan untuk memenuhi permintaan elektrik yang semakin meningkat.
Jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada pelaburan RM43 bilion TNB bagi memperkukuh dan memodenkan Grid Nasional sepanjang 2025 hingga 2027.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Ts. Shamsul Ahmad berkata, keutamaan syarikat adalah memastikan setiap rumah menikmati bekalan elektrik yang selamat dan boleh dipercayai, perniagaan memperoleh tenaga yang diperlukan untuk berkembang serta Malaysia terus menuju masa depan tenaga yang lebih mampan.
TNB turut menyambut baik usaha memasang lampu jalan solar di kampung serta panel solar bumbung di rumah kebajikan dan rumah ibadat bagi memperluas akses kepada tenaga bersih.
Menurutnya, penambahbaikan bekalan elektrik di sekolah tahfiz, institusi pondok dan perkampungan Orang Asli akan menyokong aktiviti harian serta pembangunan masyarakat.
Syarikat itu juga menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi mempercepat pelaksanaan projek bekalan elektrik desa demi memperkukuh prasarana asas masyarakat luar bandar.
TNB akan terus menyokong pembangunan syarikat Bumiputera selaras dengan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), termasuk menerusi penglibatan dalam projek tenaga boleh diperbaharui (RE), pengukuhan grid dan teknologi hijau.
Sehingga Jun 2026, TNB telah menyalurkan lebih RM11 bilion di bawah Program Pembangunan Vendor Bumiputera 3.0, yang memanfaatkan lebih 1,200 vendor Bumiputera.
Menurut TNB, sokongan terhadap pembangunan vendor Bumiputera telah dilaksanakan sejak 1994 dan akan diteruskan seiring dengan agenda peralihan tenaga negara.
Pengukuhan grid tampung permintaan elektrik
Pertumbuhan ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI) meningkatkan keperluan terhadap bekalan elektrik yang stabil dan boleh dipercayai, termasuk bagi pusat data berskala besar.
TNB berkata, pihaknya sedang memperkukuh perancangan dan pembangunan grid bagi memenuhi permintaan pelanggan industri. Inisiatif Green Lane Pathway pula membantu memperkemas dan mempercepat pembangunan infrastruktur bekalan elektrik untuk projek pusat data.
Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS) dan Tarif Elektrik Hijau (GET) turut membolehkan pelanggan industri memenuhi keperluan tenaga boleh diperbaharui mereka.
Di peringkat serantau, TNB akan terus memainkan peranan dalam projek tenaga rentas sempadan menerusi Grid Kuasa ASEAN (APG), yang berpotensi meningkatkan perkongsian sumber tenaga, fleksibiliti sistem dan jaminan bekalan tenaga.
Syarikat itu berkata, inisiatif solar berskala besar, sistem penyimpanan tenaga bateri dan program lanjutan hayat loji hidro akan menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta sasaran Malaysia mencapai pelepasan karbon sifar bersih dan 70% kapasiti penjanaan daripada tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050.
Shamsul berkata, TNB akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan dan pihak berkepentingan bagi memastikan pembangunan sistem tenaga negara memberi manfaat kepada rakyat, menyokong pertumbuhan ekonomi serta menyediakan masa depan yang lebih mampan untuk generasi akan datang. - DagangNews.com






