RM15 bilion perkukuh Grid Nasional, TNB sokong perlindungan pengguna

LocalBusiness & Finance
10 Oct 2026 • 3:42 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: RM15 bilion perkukuh Grid Nasional, TNB sokong perlindungan pengguna

PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyambut baik peruntukan RM15 bilion bagi memperkukuh Grid Nasional menerusi Belanjawan Madani 2027, sekali gus memastikan bekalan elektrik negara kekal stabil dan mampu memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Shamsul Ahmad berkata, pihaknya komited memastikan pengguna domestik menikmati bekalan elektrik yang selamat dan berdaya harap, selain menyokong pertumbuhan ekonomi serta pembangunan tenaga mampan.

Menurutnya, pelaburan RM15 bilion itu merupakan sebahagian daripada pelaburan RM43 bilion oleh TNB bagi tempoh 2025 hingga 2027 untuk memperkukuh dan memodenkan Grid Nasional.

“TNB menyambut baik peluasan aras perlindungan bil elektrik pengguna domestik daripada 600 kilowatt-jam (kWj) kepada 800 kWj sebulan sehingga 31 Disember ini, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih lapan juta pengguna atau sehingga 90 peratus pengguna domestik.

“Selain itu, usaha memperluas akses tenaga kepada masyarakat turut diberi perhatian menerusi pemasangan lampu jalan solar di kampung, panel solar bumbung di rumah kebajikan dan rumah ibadat serta penambahbaikan bekalan elektrik di sekolah tahfiz, pondok dan perkampungan Orang Asli,” katanya dalam satu kenyataan.

Image from: RM15 bilion perkukuh Grid Nasional, TNB sokong perlindungan pengguna
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu Persidangan Tenaga 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Jun lalu.

TNB turut menyatakan komitmen untuk memperkasa ekonomi Bumiputera menerusi pembangunan vendor tempatan, termasuk Program Pembangunan Vendor Bumiputera 3.0 (PV 3.0).

Sehingga Jun 2026, syarikat itu telah menyalurkan lebih RM11 bilion menerusi program berkenaan, sekali gus memanfaatkan lebih 1,200 vendor Bumiputera.

Dalam perkembangan berkaitan, TNB terus memperkukuh keupayaan grid bagi memenuhi permintaan sektor industri, termasuk pusat data berskala besar susulan pertumbuhan pesat ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI).

“Antara inisiatif dilaksanakan ialah Green Lane Pathway bagi mempercepat pembangunan infrastruktur bekalan elektrik untuk projek pusat data, selain menawarkan penyelesaian tenaga hijau menerusi Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS) dan Green Electricity Tariff (GET).

“Bagi mempercepat peralihan tenaga negara, TNB turut menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) ke arah sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050,” katanya.

Usaha itu merangkumi pelaburan dalam tenaga boleh baharu melalui projek solar berskala besar, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) dan program memanjangkan jangka hayat loji hidroelektrik.

TNB turut menyokong sasaran negara untuk mencapai 70 peratus kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu menjelang 2050, selain memperkukuh kerjasama tenaga serantau menerusi Grid Kuasa ASEAN (APG).

Shamsul berkata, TNB akan terus bekerjasama dengan kerajaan dan pihak berkepentingan bagi memastikan pembangunan sistem tenaga negara memberi manfaat kepada rakyat, menyokong pertumbuhan ekonomi dan menjamin masa depan lebih mampan kepada generasi akan datang.  – KOSMO! ONLINE

The post RM15 bilion perkukuh Grid Nasional, TNB sokong perlindungan pengguna appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved