
KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) menyeru semua pihak supaya tidak terburu-buru menghukum atau melancarkan serangan peribadi terhadap pelakon, pengarah dan kru produksi susulan kontroversi membabitkan drama Madu atau Racun.
Presidennya, Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi berkata, SENIMAN mengambil maklum perkembangan serta kontroversi yang tercetus berhubung karya berkenaan dan menghormati pendirian serta kebimbangan disuarakan pihak berkuasa, khususnya berkaitan sensitiviti agama, budaya dan nilai masyarakat Malaysia.
Namun, katanya, masyarakat perlu mampu membezakan antara sesebuah karya dengan individu yang menjayakan karya tersebut.
“Pelakon, pengarah dan kru produksi menjalankan tugas mereka berdasarkan watak serta skrip yang diberikan. Mereka tidak seharusnya menjadi sasaran kecaman, penghinaan atau serangan peribadi hanya kerana membawa sesuatu watak dalam sebuah karya.
“Kita boleh tidak bersetuju dengan sesuatu karya. Kita boleh mengkritik kandungannya. Tetapi jangan serang manusia di sebalik karya tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, Zed berkata, kebebasan berkarya perlu sentiasa bergerak seiring dengan tanggungjawab, terutama dalam memastikan karya yang dihasilkan mengambil kira batas, garis panduan serta sensitiviti masyarakat.
Menurutnya, penggiat seni mempunyai tanggungjawab untuk memahami batas dan garis panduan yang ditetapkan, manakala pihak penerbit pula perlu memainkan peranan dalam memastikan kandungan yang dihasilkan tidak mencetuskan konflik dengan sensitiviti masyarakat.
“SENIMAN berpandangan bahawa kebebasan berkarya perlu bergerak seiring dengan tanggungjawab. Penggiat seni harus memahami batas dan garis panduan yang ditetapkan, manakala pihak penerbit pula mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kandungan yang dihasilkan tidak mencetuskan konflik dengan sensitiviti masyarakat.
“Sekiranya terdapat kandungan yang didapati melanggar garis panduan atau undang-undang sedia ada, biarlah perkara tersebut dinilai dan diputuskan melalui saluran serta proses yang sewajarnya. Kita tidak mahu budaya menghukum terlebih dahulu sebelum sesuatu perkara disemak dan diputuskan menjadi norma dalam industri kreatif kita,” katanya.
Beliau berkata, SENIMAN sentiasa bersedia memainkan peranan sebagai jambatan antara penggiat seni, pihak industri dan pihak berkuasa bagi memastikan isu yang timbul dapat dibincangkan secara matang dan profesional.
Katanya, industri seni Malaysia memerlukan keberanian untuk menghasilkan karya, namun keberanian itu tidak boleh dipisahkan daripada nilai tanggungjawab, sensitiviti serta rasa hormat terhadap masyarakat.
“SENIMAN berdiri bersama penggiat seni dan pada masa yang sama, kami percaya setiap karya mesti bertanggungjawab terhadap masyarakat yang menjadi penontonnya.
“Industri seni Malaysia memerlukan keberanian untuk berkarya, tetapi keberanian itu mesti datang bersama tanggungjawab, sensitiviti dan rasa hormat terhadap masyarakat,” katanya.
The post Jangan serang manusia di sebalik karya – Zed Zaidi appeared first on Utusan Malaysia.





