‘Jangan terkejut kalau polis cari penunggang RXZ di rumah’

LocalCars
29 Jul 2026 • 8:01 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ‘Jangan terkejut kalau polis cari penunggang RXZ di rumah’

KUALA LUMPUR: “Jangan terkejut jika polis datang ke rumah.”

Itu amaran Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali terhadap penunggang motosikal Yamaha RXZ yang melakukan kesalahan trafik ketika berkonvoi.

Beliau berkata, polis akan mengambil tindakan terhadap mereka yang menunggang secara berbahaya, aksi melulu dan pelbagai pelanggaran lalu lintas lain yang dirakam sepanjang program berlangsung.

Katanya, terdapat anggota dan pegawai memantau konvoi dan program terbabit.

“Daripada sudut penguatkuasaan, kita akan terus tegas. Sebarang kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya atau peserta RXZ termasuk menunggang secara berbahaya, melakukan aksi melulu atau melanggar undang-undang akan dirakam.

“Rakaman tersebut akan dijadikan bahan bukti bagi membolehkan polis mengambil tindakan terhadap peserta yang didapati melanggar undang-undang lalu lintas.

“Jangan terkejut jika selepas ini anggota polis datang ke rumah anda untuk mengambil tindakan berdasarkan rakaman yang diperoleh,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Muhammed Hasbullah, polis turut mengambil pendekatan advokasi dengan mengadakan libat urus bersama pihak penganjur dan peserta bagi memupuk budaya penggunaan jalan raya yang lebih bertanggungjawab.

Katanya, polis telah mencadangkan supaya pegawai dan anggota ditempatkan dalam program tersebut bagi mengingatkan peserta bahawa jalan raya bukan tempat untuk mempamerkan aksi berbahaya atau membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Program ini adalah satu inisiatif positif yang menghimpunkan peminat motosikal. Namun, jalan raya tidak boleh disalahgunakan sehingga mengakibatkan pengguna lain menjadi mangsa.

“Jika keadaan tidak dapat dikawal dan risikonya lebih besar daripada manfaat, tahun depan kita akan mengambil pendekatan yang lebih agresif,” katanya.-UTUSAN

The post ‘Jangan terkejut kalau polis cari penunggang RXZ di rumah’ appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved