RXZ Members 8.0: Rakam video pantau peserta, jangan terkejut polis cari sampai rumah

29 Jul 2026 • 7:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: RXZ Members 8.0: Rakam video pantau peserta, jangan terkejut polis cari sampai rumah
Muhammed Hasbullah Ali

KUALA LUMPUR – Polis akan menggunakan rakaman video sebagai bahan bukti untuk mengesan dan mengambil tindakan terhadap peserta RXZ Members 8.0 yang melakukan kesalahan lalu lintas.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, mereka yang dikenal pasti melanggar undang-undang tidak perlu terkejut jika anggota polis datang ke rumah bagi tindakan lanjut berdasarkan rakaman yang diperoleh.

Katanya, terdapat anggota dan pegawai yang akan ditugaskan merakam pergerakan konvoi ke program yang dijadual berlangsung selama dua hari bermula Jumaat ini di Gong Badak, Kuala Terengganu sebelum setiap rakaman diteliti bagi tindakan lanjut.

“Memang itu pendekatan yang hendak kita buat. Rakaman tersebut akan dijadikan bahan bukti bagi membolehkan polis mengambil tindakan terhadap peserta yang didapati melanggar undang-undang lalu lintas.

“Jangan terkejut jika selepas ini anggota polis datang ke rumah anda untuk mengambil tindakan berdasarkan rakaman yang diperoleh,” katanya ketika sidang akhbar di Bukit Aman di sini pada Rabu.

Muhammed Hasbullah berkata, peserta juga diingatkan supaya tidak menjadikan jalan raya sebagai tempat untuk mempamerkan aksi berbahaya atau menunjukkan kehebatan menunggang motosikal sehingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

“Semua pengunjung diingatkan bahawa jalan raya ini bukan digunakan untuk melempiaskan nafsu.

“Jangan gunakan jalan raya sebagai tempat untuk kita tunjuk 'terror', untuk kita beritahu kepada orang ramai, kitalah superman. Ini adalah benda-benda yang sangat-sangat tidak bagus,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya tidak menghalang penganjuran program RXZ Members 8.0 kerana melihatnya sebagai platform yang mampu mengeratkan ukhuwah dalam kalangan komuniti permotoran.

“Program ini kita nampak adalah satu program yang bagus. Merapatkan ukhuwah, berkumpul dalam satu tempat.

“Kita sarankan pada pihak penganjur supaya ada juga penglibatan polis dalam program mereka agar pihak polis dapat menyampaikan kepada semua pengunjung bahawa jalan raya bukan digunakan sesuka hati sehingga menyebabkan pengguna jalan raya yang lain menjadi mangsa,” katanya.

Menurutnya, polis hanya mahu memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya terus terpelihara dan tidak terjejas akibat sikap segelintir peserta.

“Bukan kita hendak menghalang majlis, tetapi kita hendak elakkan daripada pengguna jalan raya yang lain jadi mangsa. Ini yang kita bimbangi.

“Jika pada tahun-tahun akan datang didapati lebih banyak mudarat berbanding manfaat, pendekatan yang lebih agresif akan diambil,” ujarnya.

Terdahulu di Terengganu, penganjur RXZ Members 8.0, Mohamad Faizal Mat Ali mengumumkan perubahan slogan daripada 'Yang Kental Pasti Sampai' kepada 'Yang Santai Pasti Sampai' sebagai usaha memastikan keselamatan peserta menjadi keutamaan serta mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini sepanjang program berlangsung.

Katanya, perubahan slogan itu bukan sekadar pembaharuan, sebaliknya membawa mesej jelas kepada semua peserta supaya mengamalkan budaya tunggangan berhemah ketika dalam perjalanan ke lokasi program.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved