Jangan Terlepas Amaran Kecemasan, Sila Kemas Kini Perisian Telefon Pintar Anda - MCMC

LocalTechnology
19 Nov 2026 • 4:51 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Jangan Terlepas Amaran Kecemasan, Sila Kemas Kini Perisian Telefon Pintar Anda - MCMC

KUALA LUMPUR - Orang ramai disaran memastikan perisian sistem operasi telefon bimbit masing-masing sentiasa dikemas kini bagi membolehkan mereka menerima amaran kecemasan secara terus daripada pihak berkuasa, sekiranya berlaku bencana atau situasi berbahaya di kawasan mereka.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, orang ramai perlu menyemak sistem operasi peranti masing-masing menjelang pelaksanaan secara berperingkat Sistem Amaran Awal (EWS) negara. 

EWS membolehkan makluman kecemasan disalurkan kepada telefon bimbit yang memenuhi spesifikasi teknikal di kawasan telah dikenal pasti.

Sistem berkenaan menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS), yang membolehkan amaran disampaikan secara serentak kepada pengguna di kawasan terjejas tanpa perlu memuat turun aplikasi, membuat pendaftaran atau melanggan sebarang perkhidmatan.

Berdasarkan keperluan minimum awal yang masih tertakluk kepada pengesahan teknikal akhir, sistem itu dijangka menyokong iPhone 11 dan model lebih baharu yang menggunakan iOS 27.2 atau versi terkini, peranti Android dengan sistem operasi Android 12 dan ke atas, serta peranti Huawei yang menggunakan EMUI 16 atau versi lebih baharu.

Sehubungan itu, pengguna turut dinasihatkan memasang kemas kini perisian terkini yang tersedia, memulakan semula telefon selepas proses kemas kini selesai serta memastikan tetapan penerimaan amaran kecemasan diaktifkan sekiranya fungsi berkenaan tersedia pada peranti masing-masing.

MCMC memaklumkan perkara itu menerusi taklimat khas bersama ketua pengarang organisasi media hari ini bagi memperkenalkan EWS, menjelaskan mekanisme penyampaian amaran kepada orang ramai serta memperkukuh kerjasama dengan pihak media dalam meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan menghadapi bencana.

Taklimat itu turut disertai demonstrasi teknikal dalaman yang diadakan di ibu pejabat suruhanjaya berkenaan di sini.

MCMC menjelaskan ujian yang dilaksanakan hari ini (19 November) bertujuan menilai keberkesanan serta menambah baik sistem berkenaan sebelum diperluaskan kepada pelaksanaan yang lebih menyeluruh.

Ujian berskala lebih besar juga akan dijalankan secara berperingkat.

EWS dibangunkan dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), agensi teknikal berkaitan serta penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi memperkukuh penyampaian amaran kecemasan yang lebih pantas dan bersasar kepada masyarakat.

Dalam pada itu, orang ramai diingatkan supaya sentiasa peka terhadap maklumat rasmi serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya menerima sebarang amaran kecemasan.

Sistem berkenaan akan melengkapi saluran penyampaian amaran sedia ada sebagai sebahagian daripada usaha lebih menyeluruh untuk meningkatkan tahap keselamatan awam dan melindungi masyarakat ketika berdepan situasi kecemasan. - Getaran, 19 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved