
KUALA LUMPUR: Sistem amaran awal bencana yang membolehkan maklumat kecemasan dihantar terus ke telefon bimbit penduduk di kawasan terjejas berada pada fasa akhir pembangunan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembangunan Sistem Siaran Selular (CBS) itu bertujuan memastikan amaran bencana dapat disampaikan lebih pantas dan menyeluruh, khususnya ketika menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Katanya, kerajaan turut memperkukuh sistem amaran awal melalui rangkaian pemantauan hidrologi dan ramalan banjir yang melibatkan 2,237 stesen hidrologi telemetri di seluruh negara.
“Sebanyak 2,237 stesen hidrologi telemetri beroperasi di seluruh negara, disokong oleh 36 model ramalan banjir bagi 36 lembangan sungai, 614 siren amaran awal banjir serta 197 kamera pemantauan.
“Sebanyak 1,242 tolok lurus sungai dan 695 tolok lurus kawasan turut digunakan bagi menyokong pemantauan aras air,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) berhubung persediaan kerajaan daripada segi kesiapsiagaan pasukan penyelamat, aset dan bantuan kebajikan termasuk kewangan bagi menghadapi bencana sepanjang MTL.
Ahmad Zahid berkata, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) turut beroperasi secara berterusan bagi menyokong pemantauan serta penyampaian maklumat berkaitan risiko banjir.
Katanya, sebanyak 3,045 lokasi panas (hotspot) banjir dikenal pasti di seluruh negara bagi tahun ini, selain 31 kawasan berisiko tanah runtuh dan 263 cerun kritikal yang memerlukan pemantauan agensi teknikal.
“Daripada 263 cerun kritikal tersebut, 90 dikategorikan sebagai kritikal tinggi, 92 kritikal sederhana dan 81 kritikal rendah,” katanya.
Beliau berkata, seramai 101,901 anggota agensi tindak balas dan teknikal telah dikenal pasti untuk digerakkan bagi menghadapi MTL kali ini.
Menurutnya, kesiapsiagaan itu turut disokong dengan penyediaan 2,425 bot, 2,024 kenderaan pacuan empat roda, 1,177 lori, 28 pesawat udara dan 35,301 jaket keselamatan.
Katanya, kerajaan menyediakan peruntukan pengoperasian bencana sebanyak RM7 juta, masing-masing RM3.6 juta kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan RM3.4 juta kepada agensi tindak balas.-UTUSAN
The post Sistem amaran bencana terus ke telefon bimbit hampir siap appeared first on Utusan Malaysia.





