
PETALING JAYA – Orang ramai diseru supaya mengemas kini sistem operasi telefon mudah alih masing-masing sebagai persediaan menerima amaran kecemasan menerusi Sistem Amaran Awal (EWS) yang merupakan sistem amaran kecemasan negara yang sedang dilaksanakan secara berfasa.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, EWS menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) dengan membolehkan amaran kecemasan dihantar secara serentak kepada telefon mudah alih yang serasi dalam kawasan geografi dikenal pasti.
Katanya, sistem itu juga dilaksanakan tanpa memerlukan pengguna memuat turun aplikasi tambahan, membuat pendaftaran atau melanggan perkhidmatan khusus.
“Pengguna turut disarankan supaya memasang kemas kini perisian terkini yang tersedia untuk peranti masing-masing, memulakan semula telefon selepas proses kemas kini dan memastikan tetapan Amaran Kecemasan diaktifkan sekiranya berkenaan,” katanya hari ini.
Sebagai panduan awal, keperluan minimum peranti bagi menyokong penerimaan amaran EWS adalah tertakluk kepada pengesahan teknikal akhir.
Untuk itu, bagi Apple iPhone, ia melibatkan iPhone 11 dan model lebih baharu yang menggunakan iOS 27.2 atau versi terkini.
Sementara itu, untuk pengguna Android, ia melibatkan telefon yang menggunakan Android 12 atau versi terkini.
Untuk Huawei pula, ia melibatkan telefon yang menggunakan EMUI 16 atau versi terkini.
Terdahulu, MCMC mengadakan sesi taklimat khas bersama ketua pengarang media bagi memperkenalkan EWS, menjelaskan mekanisme penyampaian amaran serta memperkukuh kerjasama media dalam meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat.
“Sesi tersebut turut disertai demonstrasi melalui ujian teknikal dalaman di bangunan MCMC, Cyberjaya.
“Aktiviti pada 19 November merupakan ujian teknikal dalaman bagi tujuan penilaian dan penambahbaikan sistem sebagai persediaan ke arah pelaksanaan yang lebih meluas,” katanya.
Jelasnya, pelaksanaan ujian pada skala lebih luas akan dibuat secara berfasa dan orang ramai diingatkan supaya sentiasa peka terhadap maklumat rasmi dan mematuhi arahan pihak berkuasa apabila menerima amaran kecemasan.
“EWS melengkapi saluran amaran sedia ada sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan keselamatan dan kesiapsiagaan masyarakat menghadapi bencana,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Rakyat disaran kemas kini telefon, sedia terima amaran EWS appeared first on Kosmo Online.




