Barisan Nasional (BN) kekal dengan pendirian untuk bertanding di 21 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, biarpun terbuka melakukan pertukaran kerusi atau ‘cross-swap’ dengan parti yang bakal menjadi rakan strategik.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, angka 21 kerusi itu kekal menjadi garis utama dalam rundingan yang sedang berlangsung.
Menurutnya, beberapa kerusi kini sedang dibincangkan bagi kemungkinan pertukaran, namun ia tidak akan mengubah jumlah keseluruhan kerusi yang akan ditandingi BN.
“Itu sudah terang lagi bersuluh. Itu adalah satu garis sempadan yang telah saya suarakan.
“Maka kita sedang berunding untuk mempertahankan 21 kerusi dan ada beberapa kerusi yang sedang kita rundingkan untuk dipanggil ‘cross-swap’ tapi tetap 21,” katanya pada sidang media di Seri Negeri, hari ini.

Kredit Foto: UTUSAN/AMRAN MULUP
Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.
Mengulas mengenai parti yang berpotensi bekerjasama dengan BN pada PRN kali ini, Ab Rauf berkata, pintu rundingan masih terbuka kepada mana-mana pihak yang berminat membentuk kerjasama.
Katanya, rundingan akan dilaksanakan secara berperingkat bagi menilai bentuk kerjasama serta sumbangan yang boleh diberikan oleh setiap parti dalam membentuk pasukan lebih kukuh.
“Setakat hari ini, kita masih lagi terbuka kepada mereka yang nak menjalankan kerjasama untuk mendapatkan satu pasukan yang lebih kuat dan mantap.
“Memang kita lihat di media sosial ramai yang menyuarakan untuk bergabung dengan kita dan kita akan aturkan rundingan ini berperingkat-peringkat.
“Insya-ALLAH kita akan umumkan sebelum hari penamaan calon siapakah rakan strategik kita yang terbaik untuk kita menjalankan urusan pilihan raya ini nanti,” katanya.

Kredit Foto: MalaysiaGazette
Sebelum ini, Ab Rauf beberapa kali menegaskan 21 kerusi yang dimenangi BN pada PRN lalu menjadi asas utama dalam sebarang rundingan kerjasama menjelang pilihan raya negeri kali ini.
Bagaimanapun, perkembangan terbaharu itu membuka ruang kepada kemungkinan pertukaran kawasan yang akan ditandingi bersama rakan strategik, dengan syarat jumlah keseluruhan kerusi BN kekal sebanyak 21.
Sumber: Sinar Harian (Norafiza Jaafar)





