[VIDEO] PRN Melaka: Tiga minggu tempoh munasabah, jangan prasangka SPR - Ab Rauf

LocalPolitics
7 Oct 2026 • 4:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: [VIDEO] PRN Melaka: Tiga minggu tempoh munasabah, jangan prasangka SPR - Ab Rauf
Image from: [VIDEO] PRN Melaka: Tiga minggu tempoh munasabah, jangan prasangka SPR - Ab Rauf
Ab Rauf pada sidang akhbar di Seri Negeri pada Rabu.

MELAKA - Penetapan tarikh penamaan calon dan hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dianggap munasabah bagi memberi ruang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persiapan termasuk aspek logistik.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, tempoh berkenaan tidak terlalu panjang seperti yang didakwa sesetengah pihak, sebaliknya wajar bagi memastikan urusan pilihan raya dapat dilaksanakan dengan lancar.

Menurutnya, semua pihak juga diminta tidak berprasangka buruk terhadap SPR seolah-olah tempoh berkenaan sengaja dipanjangkan atas kepentingan tertentu.

"Tempoh tak panjang. Siapa kata panjang? Kalau yang paling awal pun kita mencadangkan 17 (Oktober) dan pilihan raya 31 (Oktober), hanya tiga minggu sahaja.

"Saya rasa tidak panjang. Jangan ada satu sifat yang mengatakan ini adalah satu langkah strategi untuk memanjangkan tempoh pilihan raya. Tidak.

"Kita kena beri keadilan dan kepercayaan sepenuhnya kepada SPR kerana mereka juga ada perkara yang perlu diuruskan termasuk persediaan dan logistik," katanya pada sidang akhbar di Seri Negeri pada Rabu.

Pada Rabu, Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun mengumumkan penetapan 14 November depan sebagai hari mengundi bagi PRN Melaka Ke-16, manakala 31 Oktober sebagai hari penamaan calon dan 10 November sebagai hari pengundian awal.

Mengulas lanjut, Ab Rauf yang juga Pengerusi BN Melaka berkata, tempoh berkenaan juga penting bagi membolehkan SPR membuat persediaan termasuk mendapatkan sekolah yang akan digunakan sebagai pusat mengundi.

"Ini adalah masa yang sesuai bagi memudahkan SPR menguruskan urusan pilihan raya di Negeri Melaka.

"Jangan ada prasangka buruk, mengatakan ini mesti ada perancangan untuk memanjangkan pilihan raya kerana ada isu-isu tertentu.

"Saya sudah banyak menjalankan kempen pilihan raya, sama ada pilihan raya negeri, pilihan raya umum atau pilihan raya kecil. Tempoh ini adalah munasabah untuk SPR menguruskan pilihan raya negeri," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved