
MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh menyifatkan tempoh ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menguruskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 sebagai munasabah dan tidak terlalu panjang.
Menurutnya, tempoh berkenaan memberi ruang mencukupi kepada SPR membuat persediaan termasuk membabitkan aspek logistik dan pemilihan sekolah yang akan digunakan sebagai pusat mengundi.
“Tempoh tak panjang. Siapa kata panjang? Kalau yang paling awal pun hari itu kita minta, kita mencadangkan 17 (Oktober) dan pilihan raya 31 (Oktober), ia hanya dua minggu sahaja.
“Tak ada masalah. Saya rasa tak panjang. Jangan ada satu sifat yang mengatakan bahawa ini adalah satu langkah strategi. Tidak. Kita kena beri keadilan dan kepercayaan sepenuhnya kepada pihak SPR kerana mereka juga ada perkara yang hendak mereka uruskan,” katanya dalam sidang akhbar di Seri Negeri, di sini hari ini.
Mengulas lanjut Ab Rauf berkata, tempoh berkenaan perlu dilihat sebagai masa yang sesuai untuk memudahkan SPR membuat persiapan bagi memastikan proses pilihan raya negeri berjalan lancar.
“Persediaan mereka, logistik mereka, sekolah nak kena cari. Jadi saya harap saat ini adalah masa yang sesuai bagi memudah cara pihak SPR menguruskan urusan pilihan raya di Negeri Melaka,” katanya.
Terdahulu, SPR menetapkan 31 Oktober sebagai hari penamaan calon, 10 November bagi pengundian awal dan 14 November sebagai hari mengundi.
Dalam pada itu, Ab Rauf menyeru semua parti politik dan jentera masing-masing supaya menjalankan kempen secara matang dengan mengelakkan unsur hasutan, kebencian, fitnah dan politik jahat.
Katanya, rakyat Melaka perlu diberi ruang untuk menilai tawaran setiap parti tanpa dipengaruhi unsur yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Saya harap dalam masa kempen nanti tidak ada kempen unsur-unsur hasutan, fitnah, kebencian dan unsur-unsur jahat untuk melemahkan mana-mana parti.
“Saya yakin rakyat Melaka telah masuk satu proses yang lebih matang untuk menentukan kerajaan mana yang mereka hendak pilih,” katanya.
Beliau berkata, tempoh sehingga hari mengundi perlu dimanfaatkan untuk membincangkan masa depan Melaka dan kebajikan rakyat, bukannya mewujudkan prasangka serta perpecahan dalam kalangan masyarakat.
Mengulas mengenai calon BN, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berkata, semua nama yang dikemukakan Ketua-Ketua Bahagian UMNO telah diterima dan kini sedang melalui proses penelitian serta analisis sebelum keputusan dibuat.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut menegaskan BN masih kekal dengan pendirian mempertahankan 21 kerusi DUN yang dimenanginya pada PRN Melaka 2021, meskipun beberapa kerusi sedang dirundingkan untuk pertukaran.
“Itu sudah terang lagi bersuluh. Itu adalah satu garis sempadan yang telah saya suarakan. Maka kita sedang berunding untuk mempertahankan 21 kerusi dan ada beberapa kerusi yang sedang kita rundingkan untuk dipanggil cross swap. Tetapi tetap 21,” katanya.-UTUSAN
The post Tempoh PRN Melaka tidak panjang – Ab. Rauf appeared first on Utusan Malaysia.





