PH sukar menembusi Melaka?

LocalPolitics
7 Oct 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PH sukar menembusi Melaka?

PEMBUBARAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka menyaksikan satu lagi Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan selepas Johor dan Negeri Sembilan.

Rakyat, khususnya orang Melaka, kini menanti tarikh penamaan calon dan hari pengundian yang akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 60 hari selepas DUN dibubarkan.

Parti-parti politik pastinya sudah mula menyusun strategi, meneliti calon serta mengatur gerak kerja bagi menghadapi PRN yang dilihat penting dalam membaca kecenderungan sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Bagi Pakatan Harapan (PH), PRN Melaka hadir sebagai cabaran besar selepas gabungan itu tewas di Johor dan Negeri Sembilan, selain kekalahan di Sabah sebelum ini. 

Jika PH sekali lagi gagal mempertahankan pengaruhnya di Melaka, keputusan itu tentunya menjadi isyarat yang laluan gabungan berkenaan menuju PRU16 semakin sukar.

Keadaan Perikatan Nasional (PN) pula agak berbeza. Gabungan itu berdepan penggantungan pendaftaran ketika PRN Melaka bakal berlangsung. Walaupun pendaftarannya tidak dibatalkan, semua kegiatan PN digantung sementara oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), berkuat kuasa 23 September 2026.

Namun, barisan pimpinan PN diyakini mempunyai pendekatan tersendiri untuk meneruskan penyelarasan gerak kerja parti sepanjang tempoh pilihan raya.

Dalam keadaan ini, sentimen perpaduan ummah dalam kalangan orang Melayu serta kecenderungan sebahagian pengundi bukan Melayu yang semakin menjauh daripada PH boleh menjadi faktor penting. 

Hilangnya keyakinan terhadap keupayaan PH mentadbir negara dan persepsi sebahagian janji pilihan raya belum ditunaikan turut berpotensi mempengaruhi keputusan pengundi.

Apa pun yang berlaku di Melaka tetap akan memberi kesan terhadap pembacaan politik menjelang PRU16. Jika keputusan sekali lagi tidak memihak kepada PH, gabungan itu bakal berhadapan tekanan yang lebih besar dan mungkin berada dalam keadaan cemas menjelang PRU.

Ada kemungkinan penggantungan PN dilihat sebagai ruang yang boleh memberi kelebihan kepada PH. Namun, keadaan tersebut tidak semestinya mengubah sentimen rakyat. 

Faktor penolakan terhadap PH masih boleh menjadi penentu, khususnya jika berlaku perubahan sokongan dalam kalangan pengundi Melayu.

Jika UMNO mahu mengembalikan penguasaan BN di Melaka, pilihan untuk bergerak secara solo atau memperkasakan penyatuan ummah melalui kerjasama dengan Pas wajar dipertimbangkan.

BN, sebagai penyandang yang memenangi 21 daripada 28 kerusi dalam PRN Melaka 2021, perlu lebih cermat dan bijaksana. Sokongan rakyat Melaka, khususnya pengundi Melayu, tidak boleh dipandang ringan.

Keputusan PRN Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini menunjukkan penyatuan ummah mampu memberi kelebihan kepada UMNO-BN. Namun, terdapat satu perkara yang perlu diperhalusi. Kemenangan tersebut bukan dicapai melalui gerakan UMNO-BN secara bersendirian, sebaliknya turut dipengaruhi sokongan daripada PN, khususnya Pas.

 

STRATEGI UMNO JADI TARUHAN 

Di kedua-dua negeri itu berlaku pemindahan undi PN secara optimum, terutama dalam kalangan penyokong Pas. Ini menunjukkan Pas mempunyai peranan signifikan dalam membantu kemenangan UMNO-BN.

Keadaan di Melaka mungkin lebih rumit kerana PN kini berdepan penggantungan pendaftaran. Namun, sekiranya UMNO dan Pas mampu mencari ruang penyelarasan dengan masing-masing melakukan sedikit pengorbanan, tidak mustahil PH berdepan kekalahan sekali lagi.

Yang penting, kedua-dua pihak perlu mengambil yang baik dan mengetepikan perkara yang tidak membawa manfaat. Ibarat peribahasa, “memerah nyiur, santan diambil, hampas dibuang”. Jangan pula perkara kecil dibesar-besarkan sehingga akhirnya memberikan keuntungan kepada pihak lawan.

Dalam PRN Melaka, PH mungkin berharap pergolakan yang sedang berlaku di Negeri Sembilan akan memberi kelebihan kepada mereka.

Krisis berkaitan adat dan perlembagaan yang berlarutan di Negeri Sembilan mungkin digunakan untuk membentuk persepsi BN gagal mengurus isu pentadbiran dengan berkesan sehingga menyebabkan ketidakstabilan di negeri berkenaan.

Namun, pada hemat saya, isu tersebut tidak semestinya memberi kesan besar terhadap pengundi Melaka. Keadaan politik di Negeri Sembilan mempunyai latar tersendiri dan tidak boleh secara langsung dijadikan ukuran terhadap kecenderungan rakyat Melaka.

Begitu juga konflik antara kem Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dengan kem bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali. Pertembungan dalaman itu mungkin mendapat perhatian tetapi tidak semestinya menjadi faktor utama dalam menentukan pilihan pengundi, khususnya orang Melayu.

Dalam gelanggang politik, pengundi mempunyai pertimbangan yang lebih luas. Mereka bukan sahaja menilai calon dan parti tetapi turut melihat arah perjuangan, prestasi pentadbiran serta kedudukan politik yang dianggap mampu menjaga kepentingan mereka.

Satu perkara yang perlu diingat UMNO-BN ialah kemenangan besar dalam PRN Melaka 2021 tidak menjamin kejayaan pada PRU15. 

Dalam PRU pada 2022 itu, BN tewas di semua kerusi Parlimen yang ditandingi di Melaka sehingga menyebabkan tiada seorang pun wakil BN dari negeri berkenaan di Dewan Rakyat.

Pengalaman tersebut seharusnya menjadi pengajaran keputusan PRN dan PRU tidak semestinya bergerak dalam pola yang sama. Sokongan rakyat boleh berubah mengikut keadaan, isu serta strategi parti.

Sebab itu, UMNO perlu berhati-hati menentukan langkah di Melaka. Kesilapan strategi boleh membuka ruang kepada Pas meraih keuntungan, manakala keputusan yang tepat pula berupaya memperkukuh kedudukan UMNO-BN.

Politik sememangnya penuh kemungkinan. Apa yang kelihatan kukuh hari ini belum tentu kekal pada hari pengundian. Dalam keadaan persaingan yang semakin sengit, setiap undi mempunyai nilai dan setiap keputusan pemimpin membawa kesan.

Akhirnya, rakyat Melaka yang akan menentukan arah politik negeri itu. Apa jua strategi parti, calon yang diketengahkan atau kerjasama yang dibentuk, semuanya tetap kembali kepada pertimbangan pengundi.

Justeru, jangan sesekali memperkecilkan suara rakyat kerana dalam demokrasi, suara rakyat ialah suara keramat. –UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.

 

The post PH sukar menembusi Melaka? appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved