
KUALA LUMPUR – Penyanyi Adira Suhaimi menegaskan isu tidak membawa empat orang anaknya ke majlis perkahwinan bekas suami, Datuk Red bukanlah isu yang besar dan penting.
Menurut Adira atau nama lengkapnya Siti Adira Suhaimi, 35, apa yang paling penting, dia masih memberi kebenaran untuk bekas suaminya berjumpa anak-anak mereka.
“Isu tak bawa anak-anak ini ke majlis perkahwinan dia tidak perlu diperbesar-besarkan. Tak penting untuk diperkatakan.
“Nak membesarkan empat orang anak bukannya mudah. Saya perlu bekerja keras untuk membesarkan mereka tanpa mengusik sesiapa.
“Jadi saya minta, jangan usik saya juga. Saya mahu membesarkan anak-anak dengan tenang. Anak-anak saya pun semakin meningkat dewasa. Saya tak mahu mereka baca cerita-cerita macam ni,” katanya ketika ditemui di sidang media memperkenalkan barisan penyanyi Cinta Di Akhir Garisan 2.0 hari ini.
Mengulas mengenai perkahwinan bekas suaminya ketika kes mahkamah membabitkan mereka masih berlangsung sehingga menimbulkan simpati orang ramai, Adira sebenarnya baik-baik sahaja.
“Insya-Allah saya dan anak-anak okey sahaja. Saya mempunyai ‘circle’ yang selalu memberikan semangat. Itu yang membuatkan saya lebih kuat dan sabar,” jelasnya.
Untuk rekod Adira dan Datuk Red sah bercerai pada 24 April 2024 selepas sembilan tahun mendirikan rumah tangga.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat anak iaitu Anggrek, 9, Asan, 8, Anggun, 7, dan Ayob, 4 tahun.
Kes perceraian Datuk Red dan Adira kembali menjadi rumit apabila lelaki itu dikatakan ada melafazkan rujuk dan memfailkan kes pengesahan rujuk berkenaan di Mahkamah Syariah Gombak Barat pada Disember tahun lalu.
Ketika masih berlanjutan, Datuk Red kembali mendirikan rumah tangga dengan Rohanita pada 3 Julai. KOSMO! ONLINE
The post ‘Tak bawa anak-anak ke majlis perkahwinan bukan isu besar’ appeared first on Kosmo Digital.






