KUALA LUMPUR - Angka jangkitan baharu COVID-19 di negara ini kembali menurun bawah 2,000 kes dengan 1,186 kes direkodkan semalam.
Berdasarkan data laman sesawang COVIDNOW, angka terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan individu dijangkiti virus berkenaan meningkat kepada 4,833,008 kes setakat ini.
Jumlah direkodkan itu membabitkan 1,185 kes tempatan dan satu kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.
Sebanyak tujuh lagi korban COVID-19 direkodkan semalam dengan tiada kes berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).
Angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kematian mencecah 36,357 kes setakat ini dengan 7,731 daripadanya adalah kes BID.
Sehingga tengah malam tadi, sebanyak 24,021 kes aktif COVID-19 dilaporkan di seluruh negara.
Daripada jumlah kes aktif itu, 95.2 peratus atau 22,874 pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah, satu kes dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), sementara 1,094 orang atau 4.6 peratus menerima rawatan di hospital.
Sebanyak 52 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 35 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Terdapat 1,690 kes sembuh direkodkan setakat semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sepenuhnya daripada virus tersebut adalah sebanyak 4,772,630 kes. - Getaran, 27 September 2022

