Jangkitan COVID-19 Meningkat Semula, 6 Kematian

1 Sep 2022 • 12:29 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Jumlah keseluruhan individu dijangkiti COVID-19 setakat ini adalah 4,782,624 orang. - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Angka jangkitan COVID-19 kembali meningkat melebihi 2,000 dengan 2,340 kes direkodkan semalam berbanding 1,946 kelmarin.

Berdasarkan data laman sesawang COVIDNOW, angka terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan individu dijangkiti virus berkenaan meningkat kepada 4,782,624 setakat ini.

Jumlah direkodkan itu membabitkan 2,338 kes tempatan dan dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Sebanyak enam lagi korban COVID-19 direkodkan semalam dengan satu kes berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Kuala Lumpur dan Pulau Pinang masing-masing mencatatkan dua kematian manakala Kedah serta Selangor, satu kes di setiap negeri.

Angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kematian mencecah 36,216 setakat ini dengan 7,696 daripadanya adalah kes BID.

Sehingga tengah malam tadi, sebanyak 31,568 kes aktif COVID-19 dilaporkan di seluruh negara.

Daripada jumlah kes aktif itu, 95.5 peratus atau 29,604 pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah, 17 kes dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), sementara 1,301 orang atau 4.2 peratus menerima rawatan di hospital.

Sebanyak 69 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 42 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Terdapat 2,502 kes sembuh direkodkan setakat semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sepenuhnya daripada virus tersebut adalah sebanyak 4,715,417 kes. - Getaran, 1 September 2022