Jari cedera digigit kucing liar, pembantu veterinar layak terima faedah LINDUNG 24 Jam

LocalHealth & Fitness
30 Jul 2026 • 2:06 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Jari cedera digigit kucing liar, pembantu veterinar layak terima faedah LINDUNG 24 Jam

SHAH ALAM, 30 JULAI: Dua pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), termasuk seorang pembantu veterinar yang cedera parah akibat digigit kucing liar, menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) di bawah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) atau LINDUNG 24 Jam.

PERKESO memaklumkan pembantu veterinar, Noor Ami Athirah Mohd Isa, 26, layak menerima FHUS berjumlah RM684 sebagai bayaran penggantian pendapatan sepanjang tempoh cuti sakit selepas mengalami kecederaan serius pada jari telunjuk kanan akibat digigit seekor kucing liar pada 24 Jun lalu.

"Kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam ketika mangsa cuba menangkap kucing liar yang memasuki rumahnya di Taman Sri Serdang, Seri Kembangan dan merosakkan barangan di dapur.

"Semasa cuba mengawal keadaan, mangsa digigit pada jari telunjuk kanan sehingga menampakkan tulang sebelum mendapatkan rawatan di sebuah klinik dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Serdang untuk menjalani pembedahan pada hari sama," maklumnya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa diberikan cuti sakit selama 38 hari bermula 24 Jun hingga 31 Julai dan selain FHUS, beliau turut layak menuntut Bayaran Ganti Belanja bagi kos rawatan perubatan.

Selain itu, beliau juga layak menuntut Bayaran Ganti Belanja bagi kos rawatan perubatan.

Menurut PERKESO, sekiranya mangsa masih belum sembuh, cuti sakit tambahan boleh dikemukakan bagi membolehkan pembayaran FHUS diteruskan sehingga beliau pulih dan kembali bekerja.

PERKESO berkata, pelaksanaan LINDUNG 24 Jam bertujuan menutup kelompangan perlindungan sosial, khususnya bagi kemalangan yang berlaku di luar waktu atau lokasi pekerjaan dan sebelum ini tidak dilindungi.

"Kalau dulu ramai mengadu tuntutan kemalangan ditolak kerana kes itu bukan bencana kerja, kita harap selepas ini tiada lagi aduan sedemikian diterima," katanya.

Dalam kes berasingan, seorang operator kilang yang koma akibat kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan menziarahi adiknya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, juga layak menerima faedah di bawah skim sama.

Mangsa, Noor Faais Azali, 39, yang mencarum dengan PERKESO sejak Mei 2014, mengalami kecederaan parah di kepala dalam kemalangan pada 6 Jun lalu ketika melakukan urusan peribadi.

Menurut PERKESO, beliau telah diluluskan FHUS berjumlah RM1,008 bagi tempoh 6 Jun hingga 31 Julai.

Katanya, memandangkan cuti sakitnya dilanjutkan sehingga 26 Oktober ini, PERKESO menganggarkan keseluruhan bayaran faedah yang akan diterima mangsa mencecah RM2,574.

"Selain bayaran penggantian pendapatan, PERKESO turut menyediakan pelbagai peralatan pemulihan termasuk katil pesakit, kerusi roda boleh laras, tilam ripple, mesin sedut kahak, selain bekalan susu dan lampin pakai buang secara berkala dengan nilai bantuan dianggarkan melebihi RM5,500," katanya

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved