
PETALING JAYA – Seorang pembantu veterinar layak menerima faedah Lindung 24 Jam, gara-gara gigitan seekor kucing liar yang mengakibatkan jarinya cedera parah pada 24 Jun lalu.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memaklumkan, Noor Ami Athirah Mohd Isa, 26, cedera di jari telunjuk kanan akibat gigitan dari seekor kucing liar yang masuk ke rumahnya di Taman Sri Serdang, Seri Kembangan.
Kejadian berlaku pukul 8 malam apabila Noor Ami menangkap seekor kucing liar yang masuk ke rumahnya dan merosakkan barang-barang di dapur.
“Semasa cuba mengawal keadaan, Noor Ami telah menangkap kucing liar dan haiwan itu bertindak mengigit jari telunjuk mangsa sehingga kelihatan tulang.
“Dia kemudian segera mendapatkan rawatan di sebuah klinik sebelum kesnya dirujuk ke Hospital Serdang. Setibanya di Hospital Serdang, dia telah menjalani pembedahan pada hari yang sama berikutan kecederaan serius yang dialami,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akibat kejadian itu, Noor Ami diberikan cuti sakit mulai 24 Jun sehingga 31 Julai dan semakan Perkeso mengesahkan dia dilindungi di bawah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) atau Lindung 24 Jam.
Justeru, Noor Ami akan menerima bayaran penggantian pendapatan bagi sepanjang tempoh cuti sakitnya sebanyak 38 hari berjumlah RM684.
“Dia layak menuntut Bayaran Ganti Belanja bagi kos perubatan yang terlibat. Sekiranya belum sembuh, mangsa boleh mengemukakan cuti sakit tambahan untuk melanjutkan pembayaran Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) bagi membolehkan dia fokus untuk pulih sepenuhnya sebelum kembali bekerja.
“Kes sebegini sebenarnya banyak berlaku, namun dahulu ia tidak dilindungi Perkeso. Dengan penguatkuasaan Lindung 24 Jam, jari anda digigit kucing pun masih dilindungi dan bukan kes itu saja, banyak kes lain yang akan dilindungi,” menurut Perkeso.
Dalam masa sama, seorang pekerja kilang yang koma akibat kemalangan ketika menunggang motosikal untuk menziarahi adiknya yang sakit di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang juga layak menerima faedah di bawah skim Lindung 24 Jam.
Mangsa, Noor Faais Azali, 39, yang bekerja sebagai operator merupakan pencarum aktif Perkeso sejak 5 Mei 2014, ditimpa kemalangan pada 6 Jun lalu ketika dalam perjalanan ke hospital atas urusan peribadi sehingga menyebabkan kecederaan parah di kepala dan disahkan koma.
“Hasil semakan mendapati dia layak menerima FHUS dengan bayaran berjumlah RM1,008 telah diluluskan dan diproses bagi tempoh 6 Jun hingga 31 Julai.
“Memandangkan cuti sakitnya dilanjutkan sehingga 26 Oktober, Perkeso akan terus membayar faedah tersebut dengan anggaran keseluruhan sebanyak RM2,574,” katanya.
Selain bayaran penggantian pendapatan, Perkeso turut membekalkan alatan pemulihan termasuk katil pesakit, Reclining Wheelchair 18, Ripple Mattress, Suction Machine, selain susu dan lampin pakai buang (pampers) secara berkala dengan nilai keseluruhan bantuan dianggarkan lebih RM5,500.
Mengulas lanjut, Perkeso menjelaskan, pihak berkenaan memperkenalkan skim Lindung 24 jam untuk menutup kelompangan yang wujud dalam perlindungan sosial negara.
“Kalau dulu ramai mengadu tuntutan kemelangan ditolak kerana kesnya bukan bencana kerja, kita harap selepas ini tiada lagi aduan sebegitu diterima,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Lindung 24 Jam: Pembantu veterinar parah digigit kucing layak terima faedah appeared first on Kosmo Digital.





