
LONDON: Jaringan sensasi bintang Cape Verde, Sidny Lopes Cabral ketika menentang Argentina mencipta sejarah apabila dipilih sebagai Gol Terbaik Piala Dunia 2026.
Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan jaringan pemain berusia 23 tahun itu menerima undian tertinggi untuk memenangi anugerah Hyundai Gol Terbaik Kejohanan.
Cabral mengetepikan saingan beberapa nama besar termasuk Lionel Messi, Kylian Mbappe dan Julian Alvarez menerusi jaringan penuh kelas individu yang memukau peminat seluruh dunia.
Jaringan itu terhasil menerusi larian berani apabila Cabral memperdaya Alexis Mac Allister sebelum melepaskan rembatan lencong yang melepasi penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez.
Kejayaan itu meletakkan nama pertahanan kelahiran Rotterdam itu sebaris pemenang terdahulu anugerah berkenaan seperti James Rodriguez, Benjamin Pavard dan Richarlison.
Lebih bermakna, jaringan berkenaan dilakukan ketika Cape Verde berdepan Argentina yang akhirnya muncul finalis Piala Dunia dalam aksi di Miami.
“Sebaik saya melihat bola menuju ke penjuru atas, saya terfikir, ‘Apa yang baru saya lakukan?’ Saya sendiri tidak percaya,” kata Cabral ketika mengimbau detik sambutan selepas jaringan itu.
Cabral turut mengakui gol itu hadir hasil gerakan spontan apabila dia hanya berlari tanpa banyak berfikir sebelum menyedari dirinya telah menghasilkan jaringan istimewa di pentas Piala Dunia.
“Saya mula berlari tanpa berfikir. Kemudian saya sedar saya sudah menjaringkan gol yang luar biasa dalam Piala Dunia,” katanya.
Kualiti jaringan itu turut menarik perhatian legenda Real Madrid dan Brazil, Marcelo yang menghubungi Cabral secara peribadi untuk mengucapkan tahniah, malah mendedahkan dia turut mengundi jaringan berkenaan. – AGENSI/UTUSAN
The post Jaringan Cabral gol terbaik Piala Dunia 2026 appeared first on Utusan Malaysia.





