KOTA TINGGI - Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) telah menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlaku pencemaran sungai di Taman Desaru Utama, Bandar Penawar pada Rabu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Fauziah Misri berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas tular di Facebook yang mendakwa berlaku pembuangan sisa toksik ke dalam sungai di kawasan perumahan tersebut.
Menurutnya, siasatan segera perlu dijalankan, termasuk membuat pemeriksaan terhadap sampel air bagi mengetahui punca sebenar dan mencari pihak yang tidak bertanggungjawab itu.
“Saya memandang berat isu ini kerana melibatkan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan penduduk setempat.
“Jika terbukti berlaku pembuangan sisa secara tidak bertanggungjawab, tindakan tegas mesti diambil tanpa kompromi,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, beliau enggan rakyat dan alam sekitar menanggung akibat berpunca daripada kecuaian atau kepentingan pihak tertentu.
“Kita tidak mahu keadaan menjadi lebih buruk kerana keselamatan rakyat adalah keutamaan kami,” ulasnya.
Terdahulu, tular beberapa keping gambar memaparkan sebatang sungai di Taman Desaru Utama berubah warna dan berbau busuk, dipercayai akibat pembuangan sisa toksik.




