Sisa binaan Singapura cemari sungai: Nak dapat RM20 pun susah - Nelayan

LocalEnvironment
23 Aug 2026 • 1:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sisa binaan Singapura cemari sungai: Nak dapat RM20 pun susah - Nelayan
Air sungai tercemar dan berbau akibat penambakan sisa binaan dari Singapura, menjejaskan pendapatan nelayan di Kampung Simpang Kiri, Pontian. Gambar kecil dari kiri: Abdul Jalil, Mohd Azmi dan Mohd Ikhwan
Image from: Sisa binaan Singapura cemari sungai: Nak dapat RM20 pun susah - Nelayan
Keadaan Sungai yang cetek menyukarkan bot nelayan bergerak.

PONTIAN – Pendapatan nelayan di Kampung Simpang Kiri, Mukim Sungai Karang di sini semakin terjejas apabila hasil udang di sungai berkenaan merosot susulan pencemaran dipercayai berpunca daripada pembuangan sisa binaan Singapura.

Keadaan itu didakwa semakin ketara ketika musim hujan apabila air sungai bertukar hitam, berbau busuk dan alirannya menjadi semakin tersekat akibat sungai yang semakin cetek dan sempit.

Seorang nelayan Abdul Jalil Abdul Manap, 59, berkata, hasil tangkapan yang sebelum ini mudah diperoleh kini semakin berkurangan sejak dua tahun lalu, menyebabkan mereka terpaksa mencari lebih jauh untuk mendapatkan hasil.

“Dahulu memang banyak udang di kawasan ini. Nak dapat satu atau dua kilogram tak susah, tetapi sekarang hendak dapat jumlah itu pun sakit.

“Sekarang kami terpaksa pergi lebih jauh untuk ari hasil kerana udang semakin kurang,” katanya ketika ditemui sewaktu tinjauan bersama Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Md Israk Abdullah pada Ahad.

Jelas beliau, keadaan air yang berubah menjadi hitam terutama selepas hujan menimbulkan kebimbangan kerana dipercayai memberi kesan kepada ekosistem sungai.

“Apabila hujan, air yang mengalir keluar kadang-kadang berwarna hitam. Pencemaran air ini menyebabkan hasil tangkapan semakin berkurangan,” katanya.

Beliau memberitahu, lebih 30 nelayan di kawasan berkenaan terkesan akibat kemerosotan hasil, termasuk nelayan berdaftar dan mereka yang bergantung kepada hasil sungai.

Tambahnya, beberapa laporan dan aduan kepada pihak berkaitan pernah dibuat sebelum ini, namun tindakan lebih tegas diharap dapat diambil bagi menyelesaikan masalah tersebut.

**media[3623644]**

“Kami berharap ada tindakan dan pembelaan kepada nelayan yang terjejas kerana apabila hasil berkurangan, pendapatan kami juga turut terjejas,” katanya.

Menurut, nelayan Mohd Azmi Ayob, 44, keadaan nelayan kini semakin sukar apabila hasil tangkapan laut merosot dan pendapatan yang diperoleh tidak lagi mampu menampung keperluan harian.

"Nak keluar dari jeti juga bukan mudah kerana bot perlu ditolak terlebih dahulu.

“Dulu, lima kilogram udang laut boleh dapat RM150, tetapi sekarang hendak dapat RM20 pun susah,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan sebahagian nelayan terpaksa mencari pekerjaan sampingan termasuk melakukan kerja pertukangan dan mengambil upah di ladang sawit bagi menambah pendapatan keluarga.

“Saya sendiri sekarang buat kerja-kerja sawit. Ambil upah kerja sawit pun ada kerana susah hendak dapat pendapatan daripada hasil laut,” katanya.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan, Mohd Ikhwan Abd Rahman berkata, laporan berhubung isu berkenaan telah dibuat oleh Ketua Nelayan Kampung Simpang Kiri di Balai Polis Permas.

Menurutnya, laporan itu dibuat susulan kejadian tanah runtuh akibat aktiviti penambakan yang menyebabkan alur sungai berhampiran jeti nelayan menjadi semakin sempit dan cetek.

“Nelayan tidak pernah menghalang pembangunan, namun sebarang projek yang memberi kesan buruk kepada kehidupan dan sumber pendapatan mereka perlu dipertanggungjawabkan dan dibuat mengikut undang-undang," jelasnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved