amree28/09/2026 - 13:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Sept — Gamuda Berhad menerusi anak syarikat tidak langsungnya di Australia, Gamuda Engineering Pty Ltd (GE Australia), memperoleh kontrak kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) bernilai A$790 juta (RM2.28 bilion) bagi projek Mortlake Energy Hub (Peringkat 1) di Victoria.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, tender tersebut melibatkan pembangunan kemudahan tenaga boleh diperbaharui (RE) hibrid berkapasiti 300MW yang menggabungkan loji tenaga solar berkapasiti 435MWp dengan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) berkapasiti 1,449MWh.
Tambah kumpulan berkenaan, kontrak EPC tersebut dimeterai pada 28 September 2026 antara GE Australia dan MEH SubCo Pty Ltd sebagai pemegang amanah bagi MEH Project Trust, dengan nilai kontrak tertakluk kepada pelarasan kadar tukaran asing (forex) pada penutupan kewangan.
"Skop kerja GE Australia merangkumi reka bentuk, perolehan, pembinaan, pemasangan, pengujian serta pentauliahan kemudahan RE berkenaan, yang kemudian akan disambungkan kepada rangkaian grid sedia ada 500kV menerusi Mortlake Terminal Station," kata kenyataan Gamuda.
Projek baharu tersebut ujar kumpulan itu, mempunyai tempoh kontrak selama dua tahun sehingga Januari 2029, dengan kerja-kerja persediaan yang dijangka bermula selepas Notis Terhad untuk Mula (LNTP) dikeluarkan pihak berkaitan pada 29 September 2026.
Bagaimanapun jelasnya, Notis untuk Mula (NTP) masih lagi tertakluk kepada pencapaian penutupan kedudukan kewangan oleh MEH SubCo, yang disasarkan dapat disiapkan pada suku keempat 2026.

Selain kontrak EPC, Gamuda berkata, pihak-pihak berkenaan dijangka memeterai kontrak operasi dan penyelenggaraan (O&M) berasingan dalam tempoh sebulan daripada tarikh pengumuman tersebut.
"Kontrak O&M itu mempunyai nilai A$45 juta (kira-kira RM130 juta), tertakluk kepada pelarasan kadar forex pada penutupan kewangan dan, jika dimuktamadkan, dijangka menyumbang secara positif kepada hasil kumpulan sepanjang tempoh kontrak," tambahnya.
Gamuda berkata projek tersebut akan menyokong peralihan RE di Victoria apabila mula beroperasi, menerusi gabungan penjanaan solar berskala besar dan penyimpanan tenaga menggunakan bateri.
Dari sudut pembangunan tempatan, projek berkenaan dijangka menyokong peluang pekerjaan serta perniagaan dan pembekal domestik, selain pelaksanaan langkah pengurusan alam sekitar dan komuniti sepanjang tempoh pembinaan termasuk dana manfaat komuniti.
Projek itu ada risiko rendah berbanding pelaksanaan projek infrastruktur RE berskala besar lain, termasuk dari aspek pembinaan dan pentauliahan. Kontrak EPC dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh kontrak. - DagangNews.com






