
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Kisah remaja perempuan, Nur Izzati Humaira Azizul yang dipercayai sesat ketika mendaki Bukit Changkat Asa, Tanjung Malim, Perak pada Sabtu (23 Mei) lalu nyata mendapat perhatian ramai.
Namun, misteri kehilangan Nur Izzati Humaira akhirnya terjawab apabila mangsa ditemui meninggal dunia pada Selasa (26 Mei) lalu kira-kira jam 11.58 pagi oleh Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat (STORM).
Jadi Antara Terawal Tiba Di Lokasi, Anggota Bomba Kongsi Detik Pertemuan Dengan Jasad Allahyarham Nur Izzati Humaira
Terbaharu, seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa berkongsi detik ketika menemukan jasad Allahyarham Nur Izzati Humaira memandangkan dia dan pasukannya antara yang terawal tiba di lokasi.
“Suasana jadi sebak sebaik kami menemui jasad Nur Izzati Humaira Azizul. Ada anggota yang melaungkan azan, ada yang melafazkan kalimah syahadah.
“Minit terakhir operasi mencari dan menyelamat (SAR), kelmarin seolah-olah memanggil supaya mencari di kawasan itu dan ia membawa kepada penemuan jasad mangsa,” katanya yang berusia 44 tahun itu.
Cari Nur Izzati Humaira Di Kawasan Semak & Kurang Kesan Jejak Kaki
Kongsi Fakhrul yang merupakan anggota STORM dan Jurulatih Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wilayah Tengah, Kuala Kubu Bharu, dia selaku penyelia dan pasukannya yang terdiri seramai lima orang digerakkan ke lokasi kejadian bagi membantu SAR remaja berkenaan sejak Isnin (25 Mei) lalu.
Jelasnya, pada hari terakhir operasi SAR, pasukan penyelamat telah berpecah dari laluan denai sebelum mereka memasuki kawasan semak berhampiran lokasi Nur Izzati Humaira ditemui.
“Kami mencari di kawasan yang kurang kesan jejak kaki dan memberi tumpuan di sekitar kawasan berhampiran denai asal sebelum menemui arwah pada 11.58 pagi,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.
Anggota Bomba Dah Jangka Nur Izzati Humaira Telah Meninggal Dunia Sebaik Terlihat Keadaan Mangsa
Kongsi Mohd Fakrul lagi, dia mengakui sudah menjangka remaja perempuan yang berasal Felda Trolak Utara, Sungkai, Perak itu telah meninggal dunia sebaik melihat keadaan mangsa dan suasana sayu menyelubungi lokasi terbabit.
“Jasad mangsa ditemui dalam keadaan sempurna dan auratnya terjaga. Walaupun tidak pernah mengenalinya namun saya berasa sebak apabila jasadnya ditemui,” ujarnya.
Anggota Bomba Sentiasa Bersemangat Jalankan SAR, Cari Allahyarham Nur Izzati Humaira
Tambah Mohd Fakhrul yang telah berkhidmat selama 21 tahun dalam JBPM, mereka sentiasa bersemangat dalam menjalankan SAR.
Malah anggota penyelamat itu mengakui mahu meneruskan pencarian ke kawasan lain namun terpaksa menghentikan operasi dek kerana hari sudah gelap pada hari ketiga operasi.
“Hari keempat, saya dan anak buah semakin bersemangat mahu meneruskan SAR. Kami yakin mangsa akan ditemui pada hari itu dan Alhamdulillah, remaja itu akhirnya ditemui,” jelasnya.
Bentuk Muka Bumi Berbukit Sukarkan Operasi SAR
Terang Mohd Fakhrul, operasi pencarian Allahyarham berdepan dengan kesukaran ekoran betuk muka bumi yang berbukit serta terdapat kawasan berpaya yang perlu diredah oleh pasukan penyelamat.
Malah, pasukan penyelamat telah menjalankan SAR di kawasan pencarian merangkumi lokasi kejadian termasuklah kawasan denai, semak dan laluan trek.
Kongsi Mohd Fakhrul, niatnya berkongsi penemuan Nur Izzati Humaira di TikTok adalah untuk perkembangan dan sekadar memberi pencerahan kepada orang ramai tentang lokasi pencarian.
Untuk info, Allahyarham Nur Izzati Humaira dipercayai sesat sewaktu menuruni Bukit Changkat Asa secara sendirian meninggalkan keluarganya di belakang dek kerana penat dan tidak tahan panas sebelum dilaporkan hilang.
Jenazah Nur Izzati Humaira dibawa ke Hospital Sungai Buloh, Selangor untuk bedah siasat sebelum dimandi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Trolak Utara, Perak pada 27 Mei jam 3.05 pagi.
@loefakhrul Alhamdulillah. mangsa telah dijumpai oleh 5 anggora Pasukan Khas Storm dan Jurulatih Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wilayah Tengah, Kuala Kubu Bharu pada jam 11.58 minit pagi. Operasi ditutup. hentikan kontreversi dan khurafat.
♬ original sound – Loe Solo – Loe Solo
Baca Artikel Berkaitan: Remaja Hilang Ketika Hiking, Nur Izzati Humaira Ditemukan Meninggal Dunia
Baca Artikel Berkaitan: Kes Kehilangan Nur Izzati Humaira Ketika Hiking: Tular Suara Seakan Ketawa Ketika Operasi SAR [Video]
