Jaslinda tinggal nota di puncak Gunung Batu Putih

LocalTravel
29 May 2026 • 9:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jaslinda tinggal nota di puncak Gunung Batu Putih
Jaslinda hdilaporkan menyertai pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 individu lain dan dua malim gunung melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Image from: Jaslinda tinggal nota di puncak Gunung Batu Putih
Misi pencarian Jaslinda Saludin yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih di sini sejak 23 Mei lalu diteruskan dengan penggunaan dron bagi memperluas liputan pencarian di kawasan cerun dan lokasi sukar diakses.
Image from: Jaslinda tinggal nota di puncak Gunung Batu Putih
Tulisan tertera "HAFIZ AMBIK GAMBAR AKAK DH SAMPAI” itu ditinggalkan Jaslinda di atas tanah di puncak Gunung Batu Putih.
Image from: Jaslinda tinggal nota di puncak Gunung Batu Putih
Antara anggota pasukan SAR yang terlibat mencari Jaslinda yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih di sini sejak 23 Mei lalu
Image from: Jaslinda tinggal nota di puncak Gunung Batu Putih
Jaslinda Saludin, 49, dilaporkan hilang ketika menyertai pendakian di Gunung Batu Putih pada Ahad lepas, di Kem Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), Bidor hari ini. Foto Bernama

IPOH - Satu nota tulisan di atas tanah ditinggalkan menjadi bukti bahawa pendaki wanita yang hilang Jaslinda Saludin, 49, telah sampai di puncak Gunung Batu Putih dekat Tapah, di sini.

Malim Gunung Perhutanan (MGP) Perak yang hanya mahu dikenali sebagai Hafiz berkata, beliau yang bertindak sebagai pengawal belakang atau sweeper bagi ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman itu, menyedari kewujudan nota di atas tanah berkenaan ketika tiba di puncak gunung.

"Betul, dia (Jaslinda) dah sampai ke puncak gunung, cuma dia tak ada bagi hint dia ke mana, ke track mana. Dia cuma maklum dia kata dia dah sampai puncak,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

**media[3535501]**

Hafiz menjelaskan bahawa tulisan tertera "HAFIZ AMBIK GAMBAR AKAK DH SAMPAI” itu ditinggalkan mangsa berikutan telefon bimbit milik Jaslinda telah kehabisan bateri sejak pada peringkat awal pendakian lagi.

"Kemungkinan dia (Jaslinda) sampai (puncak Gunung Batu Putih) 10 pagi (pada 24 Mei lepas), saya sampai kira-kira 10.45 pagi, saya sedar benda itu (ukiran tulisan tersebut) sekitar 11 pagi. Jadi, dia nak maklumkan dia dah sampai puncak itu kepada saya,” katanya.

Hafiz berkata, dia kemudian mengambil gambar tersebut dengan telefon bimbitnya.

**media[3535502]**

ARTIKEL BERKAITAN : 'Ibu lasak dan berani' - Keluarga yakin Jaslinda mampu bertahan

Terdahulu, pesawat udara kawalan jauh tanpa juruterbang atau dron digunakan hari ini, bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) Jaslinda yang hilang selepas mendaki Gunung Batu Putih, sejak 23 Mei.

**media[3535503]**

Semalam, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon memaklumkan SAR akan memberi tumpuan sekitar jajaran Sungai Ayer Busok, dipercayai menjadi laluan mangsa untuk mendapatkan sumber air.

Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua MGP memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Jaslinda dan seorang lagi pendaki Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti, bagaimanapun Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat oleh MGP pada, 24 Mei (7.30 pagi). - Bernama